comscore
Tumpuan :
Nasional

JIM tahan 12 pekerja asing di stesen minyak

Antara warga asing yang bekerja di sebuah stesen minyak yang menawarkan khidmat mencuci kenderaan ditahan dalam operasi JIM, kelmarin.

PETALING JAYA: Operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang diketuai Ketua Pengarah Datuk Ruslin Jusoh menahan seramai 12 pekerja warga asing yang bekerja di sebuah stesen minyak yang menawarkan khidmat mencuci kenderaan di sebuah lebuh raya.

Operasi dilakukan 17 pegawai Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya jam 12 tengah hari.

“Lokasi serbuan adalah premis stesen minyak yang menawarkan khidmat mencuci kenderaan.

“Tindakan penguatkuasaan ini diambil susulan aduan awam berhubung warga asing yang bekerja di premis itu disyaki tidak memiliki pas dan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Dalam operasi ini, 12 warga asing berusia 25 hingga 35 tahun diperiksa dan ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki pas atau dokumen sah dan melanggar syarat pas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ruslin berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturanImigresen 1963.

“Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

“JIM tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa dan menyalah guna pas di negara ini.

“Tindakan tegas akan turut diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini