comscore
Tumpuan :
Nasional

JPNT beku sementara tugas guru penolong kanan, terbabit aktiviti memperdagang wanita

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah 

KUALA TERENGGANU: Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) mengambil tindakan membekukan sementara tugas seorang guru penolong kanan yang dipercayai terlibat dengan aktiviti memperdagangkan wanita, baru-baru ini.

Pengarahnya, Jelani Sulong berkata, tindakan itu diambil bagi memberi ruang kepada pihak polis membuat siasatan sehingga guru berkenaan dibuktikan bersalah di mahkamah.

“Perkara ini masih dalam siasatan pihak polis dan kita serah sepenuhnya kepada pihak polis, baru-baru ini pertuduhan telah dibuat di Mahkamah dan dia mengaku tidak salah serta 31 Mac di jangka sebutan semula kes.

“Kita di peringkat jabatan tunggu keputusan mahkamah dan tindakan tataertib menyusul dan di sini kite di peringkat jabatan dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) berkenaan telah buat siasatan secara menyeluruh” katanya ketika ditemui selepas majlis Pengumuman Keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Terenggganu 2023 di Sekolah Menengah Agama (SMA) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.

Khamis lalu, seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini atas pertuduhan memperdagangkan seorang wanita tempatan bagi tujuan eksploitasi seks.

Tertuduh, Mohd Hasfyanizam Mansor, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nazlyza Mohamad Nazri.

Bagaimanapun, rakan tertuduh, Mohamad Fazley Jaafar, 29, yang berdepan pertuduhan sama, mengaku bersalah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara bersama memperdagangkan seorang wanita tempatan berusia 29 tahun bagi maksud eksploitasi seks.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah apartment di daerah ini, jam 2.35 pagi pada 11 Mac lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 31 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen bagi kes Mohd Hasfyanizam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini