comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Insiden Pulau Angsa: Kotak hitam helikopter dihantar ke Itali untuk dianalisis

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kotak hitam helikopter AW139 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang melakukan pendaratan cemas ketika melaksanakan latihan menyelamat di sekitar perairan Pulau Angsa, Kuala Selangor pada Mac lalu dihantar ke Itali untuk dianalisis.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu dibuat agensi berkenaan kerana pesawat jenis Agusta Westland AW139 itu adalah keluaran negara tersebut.

Saifuddin menghadiri Majlis Perjumpaan bersama warga Maritim Malaysia di Putrajaya

“Kita temui ada sedikit kesan kerosakan yang memerlukan kotak hitam itu dianalisis syarikat pengeluar (di Itali), itu lebih selamat untuk kita tahu rakaman yang telah dirakam kotak hitam itu,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan bersama warga Maritim Malaysia, di sini hari ini.

Ditanya bilakah hasil rakaman kotak hitam itu akan diperolehi, jelasnya, ia mungkin mengambil sedikit masa kerana baru sahaja dihantar ke Itali.

Bagaimanapun, Saifuddin berkata, Maritim Malaysia akan dimaklumkan mengenai perkara berkenaan oleh pihak berkenaan dalam tempoh munasabah.

Dalam kejadian pada 5 Mac itu, pesawat yang diterbangkan oleh Leftenan Komander (M) Tengku Mohd Nizam Tengku Zakaria dan disertai Leftenan Komander (M) Mohamad Azrol Saidi bersama kru udara Pegawai Waran I (M) John Ibno serta perenang penyelamat Bintara (M) Muhamad Nurhayyat Hashim terpaksa melakukan pendaratan cemas ketika menjalani latihan menyelamat.

Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan manakala kotak hitam terbabit ditemui selepas 44 hari pencarian.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin memaklumkan, sebanyak 175 kes tangkapan membabitkan nilai rampasan kira-kira RM15 juta direkodkan menerusi Op Khas Pagar Laut fasa empat, setakat ini.

“Ini menunjukkan pentingnya (kawalan perairan) hatta musim perayaan sekali pun keselamatan perairan negara diawasi,” katanya.

Op Khas Pagar Laut fasa empat yang bermula pada 17 April lalu sehingga esok bertujuan mengukuhkan kawalan keselamatan di laut terutamanya di setiap titik panas seluruh negara selepas sambutan Aidilfitri.

Sementara itu, mengulas perkembangan Bintara Muda Maritim Zainal Abas Komel yang cedera di mata kiri selepas terbabit dengan insiden tembak menembak dengan perompak laut di Lahad Datu, Sabah pada 7 April lalu, Saifuddin berkata, pihaknya masih menunggu laporan daripada pihak doktor.

Zainal Abas menjalani pembedahan kali kedua pada 24 April lalu bagi memastikan korneanya masih boleh berfungsi atau sebaliknya.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, dua anggota Maritim Malaysia cedera ditembak termasuk seorang lagi kru bot, Laskar Kanan Maritim Prayrie De Cuella Jimin, 35, cedera di kedua belah tangan ketika menjalankan operasi rondaan Op Khas Pagar Laut di perairan Kunak.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini