comscore
Tumpuan :
Nasional

Jun-Disember, tiada suhu ekstrem melebihi 38 darjah Celcius – MetMalaysia

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Tiada suhu ekstrem melebihi 38 darjah Celcius di Malaysia pada Jun hingga Disember tahun ini, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah, berkata Stesen Meteorologi di Raub, Pahang mencatatkan bacaan 38.6 darjah Celcius suhu harian maksimum, 16 April lalu dan ia adalah yang tertinggi direkodkan dari Januari hingga April .

Bacaan itu juga dijangka suhu tertinggi di Malaysia tahun ini.

“Bagaimanapun, tiada stesen Meteorologi yang merekodkan bacaan melebihi 37.5 darjah Celcius pada bulan lalu.

“Lanjutan itu, MetMalaysia menjangkakan tiada suhu ekstrem yang melebihi 38 darjah Celcius boleh berlaku di negara ini pada Jun hingga hujung tahun ini,” katanya kepada BH.

Mengulas lanjut, Muhammad Helmi berkata, secara amnya kejadian cuaca lebih panas dan kering yang dijangka berlaku pada Jun sehingga Oktober 2023 disebabkan fenomena El Nino.

Katanya, keadaan El Nino ini lazimnya boleh menyebabkan suhu di rantau negara meningkat sekitar 1.0 darjah Celcius hingga 2.0 darjah Celcius berbanding keadaan biasa.

“Bagaimanapun, pada 30 Mei lalu menunjukkan keadaan El Nino Southern Oscillation (ENSO) neutral dan dijangka beralih kepada El Nino lemah mulai bulan ini dan mencapai intensiti sederhana pada hujung tahun.

Katanya, negara kini mengalami Monsun Barat Daya (MBD) yang diramal sehingga September dengan cuaca dijangka lebih kering.

“Namun buat masa ini, MetMalaysia tidak menjangkakan status udara tidak sihat akan berlaku di negara kita.

“Walaupun demikian, fenomena jerebu boleh berlaku sekiranya pembakaran terbuka tidak terkawal terutamanya pada Julai hingga September.

“Oleh itu, pembakaran terbuka haruslah dielakkan bagi mengurangkan kesan jerebu dan pencemaran alam sekitar,” katanya.

Untuk meklumat lanjut mengenai status udara terkini, orang ramai boleh rujuk kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) di http://apims.doe.gov.my/home.html.

Orang awam juga boleh merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial rasmi Met Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi mendapatkan maklumat  terkini dan sahih.

Loading...
Terkini