comscore
Tumpuan :
Nasional

Musim panas bakal berakhir; hujan lebat dijangka bermula Jumaat hingga Mei – METMalaysia

Jangkaan hujan bulan Mac 2024 (kiri), jangkaan anomali hujan bulan Mac 2024

KUALA LUMPUR: Fasa peralihan monsun yang diunjurkan bermula Jumaat ini hingga Mei depan akan menyebabkan ribut petir, hujan lebat serta angin kencang.

Ia diramalkan berpotensi berlaku pada sebelah petang dan malam di kebanyakan kawasan barat dan pedalaman Semenanjung.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam hantaran memaklumkan keadaan sama turut berlaku di barat Sabah serta selatan dan tengah Sarawak.

Menurut METMalaysia, dengan bermulanya fasa peralihan monsun, keadaan cuaca kering dan panas yang sedang berlaku di kebanyakan tempat di seluruh negara dijangka pulih menjelang pertengahan bulan depan.

Jangkaan hujan bulan April 2024 (kiri), jangkaan anomali hujan bulan April 2024

“Semasa fasa peralihan monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang kondusif untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa singkat,” kata METMalaysia melalui hantaran di platform sosial X, hari ini.

Kata hantaran itu lagi, keadaan cuaca ketika fasa peralihan monsun itu berpotensi mengakibatkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan terhadap struktur tidak kukuh.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan sentiasa merujuk laman sesawang www.met.gov.my dan media sosial METMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.

Jangkaan hujan bulan Mei 2024 (kiri), jangkaan anomali hujan bulan Mei 2024

METMalaysia dalam laporannya yang dikemas kini pada jam 4.40 petang semalam melaporkan terdapat 41 daerah atau lokaliti di Semenanjung dan 4 di Sabah dan Sarawak merekodkan bacaan suhu Tahap 1 atau Berjaga-Jaga.

Ia adalah bagi kawasan yang mencatat suhu harian 35 hingga 37 darjah celsius selama tiga hari berturut-turut.

Seluruh Perlis dan Beaufort di Sabah mencatat kriteria cuaca panas Tahap 2 atau Gelombang Haba iaitu bagi kawasan yang mencatat suhu maksimum harian melebihi 37 hingga 40 darjah celsius selama tiga hari berturut-turut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN


Loading...
Terkini