comscore
Tumpuan :
Nasional

Kad Diskaun Khas Menu Rahmah tawar diskaun bahan mentah sehingga 40 peratus

Oleh: Siti Khadijah Jaafar

KUALA LUMPUR: Permohonan Kad Diskaun Khas Menu Rahmah kini dibuka khusus kepada peniaga dan pengusaha menu rahmah di seluruh negara.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, menerusi inisiatif itu, peniaga terlibat akan menikmati tawaran kadar diskaun sehingga 40 peratus di enam pasaraya terpilih mengikut terma dan syarat ditetapkan.

“Penawaran Kad Diskaun Khas Menu Rahmah ini merupakan program rintis bersama di antara Kementerian dan pemain industri dalam sektor perdagangan dan pengedaran.

KPDN menghargai komitmen enam pasaraya yang telah bersetuju untuk terlibat dalam pelaksanaan inisiatif ini iaitu pasaraya Aeon Big, Econsave, Giant, Lotus’s, Mydin dan NSK” , katanya.

Antara barangan mentah yang ditawarkan termasuk ayam, bawang dan barang asas makanan lain.

Sehingga kini, terdapat 2,849 premis berdaftar di seluruh negara yang menawarkan menu rahmah.

Permohonan turut dibuka kepada mana-mana pengusaha dan peniaga yang berminat menawarkan menu rahmah di premis mereka.

Permohonan dibuka bermula hari ini melalui portal http://menurahmah.kpdn.gov.my dan sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkidmatan (SPIP) di talian 03-8882 5881 atau emel kepada [email protected].

Antara syarat permohonan ialah warganegara Malaysia, berdaftar sebagai pengusaha menu rahmah di bawah KPDN dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, SSM serta pihak berkuasa tempatan.

Datuk Armizan ditemui media sempena majlis memperkenalkan Kad Diskaun Khas Menu Rahmah di ibu negara.

Sebelum ini, KPDN memaklumkan akan mewujudkan mekanisme khas bagi memberikan potongan harga istimewa kepada peniaga Menu Rahmah.

Menerusi inisiatif itu, ketulenan identiti peniaga Menu Rahmah yang ingin menebus potongan harga dapat dikenal pasti, sekali gus memudahkan transaksi tuntutan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini