comscore
Tumpuan :
Nasional

Kadar capaian internet di sekolah di Melaka memuaskan – Exco

Foto Fail NSTP

JASIN: Kerajaan Negeri Melaka akan terus mempertingkatkan kadar capaian Internet di semua sekolah termasuk di kawasan luar bandar walaupun kini ia berada pada tahap memuaskan, kata Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi negeri Datuk Fairul Nizam Roslan.

Beliau berkata antara usaha yang akan dilakukan ialah menambah kemudahan kabel optik Point of Present (PoP) yang diwujudkan di lokasi berhampiran sekolah bagi memudahkan guru dan pelajar mendapakan akses Internet yang lebih lancar untuk memudahkan proses pembelajaran.

“Bagi PoP ini, kita masih lagi menunggu Kementerian Pendidikan berbincang dengan syarikat telekomunikasi berkaitan untuk membina menara di dalam kawasan sekolah kerana selagi tidak selesai perjanjian atau isu yang mereka hadapi, selagi itulah PoP ini tidak boleh sampai ke pihak sekolah.

“Namun dalam masa yang sama, pihak sekolah boleh mengambil inisiatif sendiri dengan mendapatkan peruntukan daripada Ahli Parlimen di kawasan masing-masing atau mengadakan program sendiri bagi menambah baik perkhidmatan Internet di sekolah mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan di Pekan Asahan di sini lewat malam tadi.

Beliau berkata pihak kerajaan negeri juga komited untuk menambah baik perkhidmatan berkenaan di sekolah dan menyasarkan semua masalah berkaitan capaian Internet di sekolah terutama di kawasan luar bandar diselesaikan menjelang 2026.

Dalam pada itu, beliau berkata Persidangan Antarabangsa dan Expo Smart Melaka (SMIX) 2024 dijadualkan berlangsung pada Oktober nanti.

“Persediaan rapi sedang dilakukan termasuk pemilihan lokasi penganjuran dan perbincangan awal telah dilakukan.

“Seperti tahun lepas, saya mengalu-alukan semua agensi, syarikat utama dalam industri digital berkaitan turut serta dalam SMIX 2024, malah menjadi rakan strategik pada penganjuran kali ini yang akan diuruskan oleh Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH),” katanya.–BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini