comscore
Tumpuan :
Nasional

Kanak-kanak 2 tahun alami sesak nafas, sawan dipercayai tertelan cecair nikotin

Oleh Syafiqah Damanhuri

PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun disyaki mengalami keracunan nikotin akut di Bera, Pahang, dipercayai tersedut atau tertelan cecair daripada peranti rokok elektronik (vape) jenis pakai buang.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan memaklumkan, kanak-kanak itu tidak memiliki sejarah penyakit kronik ditemui datuknya pada 30 Mei lalu dengan mengalami gejala batuk, muntah dan sesak nafas.

Mangsa dijumpai dalam keadaan peranti vape pakai buang terletak di atas lantai berhampirannya.

“Kanak-kanak ini dipercayai tersedut atau tertelan cecair daripada peranti rokok elektronik jenis pakai buang”

“Kanak-kanak ini seterusnya dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh, Pahang kerana memerlukan bantuan pernafasan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak”

“Mangsa juga dilaporkan mengalami sawan sebanyak dua kali ketika dalam rawatan. dan kini keadaan pesakit adalah stabil dan bernafas tanpa bantuan alat pernafasan.” Ujar kenyataan itu.

Kejadian ini pada mulanya dilaporkan sebagai kemungkinan kes EVALI (Electronic Vape Associated Lung Injury), namun hasil penemuan klinikal didapati tidak memenuhi kriteria EVALI.

“Keputusan ujian air kencing menunjukkan kehadiran nikotin pada paras yang tinggi. Peranti rokok elektronik yang ditemui telah dihantar ke makmal untuk ujian lanjut,”

Mangsa kini masih dipantau oleh pihak hospital.

Loading...
Terkini