comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kanak-kanak melecur 46 peratus badan akibat disambar api ketika bermain bunga api

Keadaan kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang melecur pada badan dan muka ketika bermain bunga api di hadapan rumahnya di Kampung Senara, Kubur Panjang, semalam. -FOTO: NSTP/Ihsan Pembaca

PENDANG: Akibat bermain bunga api, seorang kanak-kanak perempuan, Nur Zatil Hidayah Mohd Tarmizi, 4, melecur hampir 46 peratus pada sebahagian badannya dipercayai disambar api.

Kejadian dipercayai berlaku jam 10.30 malam tadi di hadapan rumah mangsa di Kampung Senara, Kubur Panjang di sini.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan pihaknya menerima laporan itu daripada pihak hospital jam 2.45 pagi semalam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku sewaktu mangsa serta dua abangnya berusia tujuh dan 10 tahun bermain bunga api di hadapan rumah mereka.

“Ketika itu, ibu bapa mangsa pula berada di dalam rumah dan dikatakan sedang menonton televisyen.

“Namun secara tiba-tiba pasangan suami isteri itu terdengar jeritan anak mereka dan berlari keluar sebelum mendapati dua anak lelaki mereka sedang cuba memadam api yang membakar tubuh mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Arriz Sham berkata, bapa mangsa yang bekerja kampung itu kemudian mengambil sebaldi air lalu menjirus pada bahagian badan anaknya itu sebelum terus membawa mangsa ke Hospital Pendang.

Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berikutan bapa mangsa mendakwa anak perempuannya itu disyaki terbakar selepas disambar api daripada pelita minyak tanah ketika ingin menyalakan bunga api.

“Namun kejadian sebenar hanya akan diketahui selepas kita mengambil rakaman keterangan dua abang mangsa kerana buat masa ini mereka masih dalam keadaan trauma dengan insiden yang berlaku.

“Pihak hospital setakat ini masih belum memaklumkan laporan keputusan punca kecederaan sebenar mangsa sama ada disebabkan oleh minyak pelita atau mercun,” katanya.

Arriz Sham berkata, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk rawatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu ibu bapa atau penjaga mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya,” katanya.

Loading...
Terkini