comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Karnival Jom Heboh Johor meriah

 

JOHOR BAHRU: Masuk hari kedua penganjuran Karnival Jom Heboh (KJH) di Angsana Johor Bahru Mall di sini, menyaksikan kemeriahan dan sambutan berganda daripada pengunjung dari pelusuk negeri Johor termasuk rakyat Singapura.

Walaupun hujan seketika, ia tidak menghalang pengunjung terus membanjiri Padang A & B pusat beli-belah itu yang menyajikan pelbagai aktiviti dan pengisian di hampir 200 reruai termasuk vendor makanan.

Menurut seorang pengunjung, Mohammad Najib Ibrahim, 30, dia datang bersama isteri dari Batu Pahat dan berteduh di dalam kereta terlebih dahulu sementara menunggu hujan berhenti.

“Kami ada urusan lain sebenarnya di sini, tetapi sebab tahu ada KJH hari ini, kami singgah dan ini kali kedua kami hadir ke KJH dan kami lihat penganjuran kali ini lebih meriah.

“Kami harap KJH boleh dianjurkan lebih kerap lagi,” katanya turut mengambil peluang membeli pelbagai barangan yang dijual dengan harga promosi.

Bagi Siti Hamirah Ab Rahman, 42, dari Pasir Gudang pula berkata, setiap kali penganjuran KJH, dia pasti akan hadir membawa anak-anaknya untuk merasai kemeriahan penganjuran karnival itu.

Katanya, hadir santai ke KJH dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.

“Setiap kali saya tahu ada KJH, saya memang akan bawa anak-anak datang. Tidak beli apa-apa pun tak apa, dengan berkunjung ke KJH kita dapat tengok ragam orang dan rasa kemeriahan itu.

“Saya dan anak sempat meninjau persekitaran sebelum hujan. Apabila hujan, kami berteduh dalam Angsana, kemudian sambung semula berjalan selepas hujan reda,” katanya yang juga mahu KJH terus diteruskan pada masa akan datang.

KJH Johor yang berlangsung tiga hari bermula semalam hingga esok menyajikan pelbagai kelainan termasuk reruai Dinoland @ NSTP yang membolehkan pengunjung mengalami suasana di zaman purba sambil bergambar dengan pelbagai jenis dinosaur bergerak.

Selain membawakan selebriti ternama tanah air, KJH Johor turut mengaktifkan Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima membolehkan orang ramai menyalurkan sumbangan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini