comscore
Tumpuan :
Nasional

Keadaan Ainul Mardhiah Semakin Baik – Bapa

KUALA LUMPUR: Keadaan kanak-kanak yang pernah menjalani pembedahan kanser mulut Germ Cell Tumor, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, lebih baik hari ini dan tidak lagi kritikal.

Berita itu dikongsikan bapanya Ahmad Safiuddin Ahmad Razak menerusi Facebook miliknya petang ini, yang memaklumkan anaknya berusia 4 tahun itu masih direhatkan serta memerlukan sokongan ventilator di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU).

“Keseluruhannya, Ainul lebih baik dari semalam. Dia masih kuat melawan. Terima kasih buat doktor yang merawat Ainul kerana berjaya selamatkan Ainul dari zon kritikal.

“Terima kasih kakak-kakak misi yang menjaga Ainul dengan penuh kasih sayang. Terima kasih semua rakyat Malaysia yang ambil berat mengenai Ainul dan sentiasa mendoakan kesihatan dan kesejahteraannya,” katanya.

Beliau berkata, mereka sekeluarga tidak mampu untuk membalas jasa baik rakyat Malaysia yang berbuat baik kepada mereka.

“Hanya mampu kami titipkan doa buat anda semua supaya Allah SWT berikan segala kebaikan yang ada di muka bumi ini kepada anda dan seluruh ahli keluarga.

“Saya juga doakan buat anak-anak lain yang sedang bertarung nyawa, yang sedang berjuang melawan penyakit diberikan kesembuhan secara menyeluruh.

“Doktor yang merawat diberikan jalan dan kefahaman, dan ibu bapa mereka diberikan ketabahan, kesabaran, ganjaran di dunia dan di akhirat.
Iklan

“Semoga Allah SWT cukupkan rezeki kita semua. Mohon doakan Ainul sembuh dari serangan kuman ini tanpa ada sebarang komplikasi. Amin,” katanya.

Sebelum ini, derita dialami Ainul Mardhiah mendapat perhatian banyak pihak termasuk Dr Nur Amalina Che Bakri yang membantunya menjalani pembedahan untuk di London, United Kingdom pada 2019.

Loading...
Terkini