comscore
Tumpuan :
Nasional

Kedudukan Pengerusi PKR Sabah belum diputuskan – PM

Anwar ditemui pemberita selepas menghadiri Perjumpaan Khas Majlis Pimpinan Negeri Sabah, pagi ini.- Foto NSTP

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim belum memutuskan kedudukan Pengerusi Majlis Pimpinan Sabah (MPN), Datuk Sangkar Rakam berkaitan kemelut kepemimpinan yang dihadapi PKR Sabah ketika ini.

Presiden PKR itu, bagaimanapun berkata beliau akan membuat keputusan dalam masa terdekat selepas berunding dengan semua Ketua Cabang PKR di negeri ini.

Katanya, Ketua Cabang juga sudah memberi pandangan mengenai soal kepemimpinan tetapi keputusan mengenai kedudukan Pengerusi MPN hanya dibuat selepas konsultasi di peringkat pusat.

“Mengenai pimpinan, mereka telah beri pandangan pelbagai tentang kedudukan dan saya akan beri keputusan dalam masa singkat setelah berunding dengan Ketua-Ketua Cabang,” katanya ditemui pemberita selepas mempengerusikan Perjumpaan Khas MPN Sabah, pagi ini.

Perjumpaan yang bermula pada jam 8.30 pagi itu dihadiri semua Ketua Cabang di Sabah, termasuk Pengerusi MPN Sabah, Datuk Sangkar Rasam dan Naib Presiden PKR, Awang Husaini Sahari.

Hadir sama, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud yang juga Ketua Cabang PKR Kota Belud.

Turut hadir ialah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.

PKR Sabah berdepan kemelut kepemimpinan apabila 15 Ketua Cabang diketuai Ketua Cabang Kota Marudu, Sazalye Donol Abdullah pada awal bulan lalu mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Sangkar sebagai Pengerusi MPN Sabah dan meminta beliau mengundurkan diri.

Anwar berkata, beliau akan mempertimbangkan nama yang dicadangkan untuk jawatan Pengerusi MPN itu, namun enggan mendedahkan jika ada nama yang digugurkan.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, beliau terkesan apabila perjumpaan berkenaan turut mengemukakan dua hala tuju penting untuk Sabah.

Katanya, yang pertama MPN Sabah menggariskan keperluan untuk memesatkan program menangani masalah kemiskinan Sabah dengan menoktahkan kemiskinan sebagai keutamaan.

“Kedua adalah bagi memastikan supaya kerjasama persekutuan dengan negeri dalam pengurusan pendaftaran rakyat yang belum mendapat pendaftaran kewarganegaraan, tetapi tentunya ia mengikut syarat yang ditentukan negara.

“Jadi, saya terharu kerana fokus itu, masalah kemiskinan dan masalah orang yang tidak mempunyai kartu (dokumen) yang sah,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini