comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kedutaan Indonesia perlu kemuka aduan pekerja didera

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak menerima aduan secara rasmi daripada Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) berkaitan penderaan, penganiayaan dan manipulasi pekerja Indonesia seperti dilaporkan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Hermono.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh memaklumkan, jabatan berkenaan mengalu-alukan pihak KBRI untuk mengemukakan aduan secara spesifik kepada JIM supaya siasatan dan tindakan lanjut dapat dilaksanakan.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JIM memandang serius mengenai isu ini dan menyatakan komitmen untuk tidak berkompromi kepada mana-mana majikan yang mendera, menganiaya serta memanipulasi pekerja asing.

“JIM akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang melanggar undang-undang dan syarat penggajian pembantu rumah asing (PRA). Mereka akan didakwa di mahkamah jika melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan akan disenarai hitam daripada menggajikan PRA,” katanya.

Semalam, Hermono dilaporkan berkata, isu penganiayaan pembantu rumah Indonesia di Malaysia memerlukan penyelesaian segera dan tuntas daripada majikan serta penguatkuasaan lebih ketat oleh pihak berkuasa.

Menurutnya, kira-kira 90 peratus aduan diterima KBRI berkaitan pekerja domestik dari negara berkenaan menunjukkan trend membimbangkan antaranya tidak dibayar gaji bulanan termasuk ada pekerja tidak menerima bayaran selama 19 tahun.

Mengulas lanjut, jelas Ruslin, JIM sentiasa bekerjasama dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) untuk menangani isu eksploitasi pekerja asing termasuk dari Indonesia.

Untuk rekod, sehingga 16 Oktober lalu, seramai 447,094 pekerja asing Indonesia mempunyai pas lawatan kerja sementara (PLKS) dengan 57,916 daripadanya adalah PRA.

“Selain itu, kebajikan dan perlindungan kepada pekerja domestik Indonesia merupakan antara perkara yang telah dimasukkan dalam Memorandum Persefahaman Antara Kerajaan Malaysia dan Indonesia Mengenai Penggajian dan Perlindungan Pekerja Domestik Indonesia di Malaysia,” katanya.

Beliau turut menyeru orang awam supaya melaporkan dan menyalurkan sebarang maklumat berkenaan majikan yang menganiaya atau mengeksploitasi pekerja asing kepada JIM supaya tindakan tegas dapat diambil ke atas majikan tersebut.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini