comscore
Tumpuan :
Nasional

Kelewatan pembinaan kolam selam tempur di Kem Iskandar kerana isu berkaitan sub-kontraktor

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

KUALA LUMPUR: Kelewatan pembinaan kolam selam tempur di Kem Iskandar, Mersing adalah berpunca daripada isu berkaitan sub-kontraktor yang dilantik.

Menteri Pertahan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan bagaimanapun pembinaannya kini pada tahap melebihi 90 peratus.

“Ada masalah dengan nominated sub-kontraktor yang tak dapat jalankan projek tersebut, macam kerja elektrik dan sebagainya, maka kita terpaksa cari (yang baru).

“Kebanyakannya mereka ini adalah pakar dan ada keupayaan, tak mudah untuk dicari ganti  serta proses nak ganti itu perlu melalui tender dan sebagainya, maka ia memakan sedikit masa,” katanya dalam sidang media ketika lawatan projek perumahan ‘Satu Anggota Satu Rumah’ (SASaR) untuk warga angkatan tentera Malaysia di Sungai Besi, petang tadi.

Ujarnya lagi, walaupun projek pembinaan kolam terbabit di bawah kementeriannya, namun pelaksannaan adalah di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Kami dapat jaminan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), projek ini diberi perhatian serius dan harap ia dapat dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.

Ditanya mengenai papan tanda projek di lapangan yang telah diturunkan, Datuk Seri Khaled bagaimanapun tidak dapat memastikan perbuatan mana-mana pihak.

Semalam Yang Dipertuan Agong menitahkan pihak berwajib memberi penjelasan berhubung kelewatan pembinaan kolam selam tempur yang sepatutnya siap pada Disember 2022, namun sehingga kini masih dalam pembinaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini