comscore
Tumpuan :
Nasional

Keluarga mangsa ‘Sotong Ride’ mahu ambil tindakan undang-undang

FOTO: NSTP

KUALA SELANGOR: Keluarga dua beradik yang tercampak keluar daripada permainan ‘Sotong Ride’ di Eco Grandeur, Bandar Puncak Alam, semalam akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjur pesta ria itu.

Ibu mangsa, Faizah Mat Sam, 52, berkata tindakan itu dilakukan berikutan ada unsur kecuaian sehingga mendatangkan kecederaan kepada Noraziera Zulkiffle, 31 dan Shah Faraz Aiefan, 11.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah membuat dua laporan di Balai Polis Jeram dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor selepas kejadian itu.

“Kami sekeluarga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjur taman tema itu kerana melihat ada unsur kecuaian.

“Malah, laporan polis juga dibuat supaya mendapat pembelaan yang sewajarnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Kenari, Kampung Bukit Kuching, Jeram, di sini, hari ini.

Menceritakan semula mengenai kejadian itu, Faizah berkata terdahulu beliau diajak ke pesta ria berkenaan, namun menolak kerana sakit lutut.

“Noraziera, Shah Faraz pergi bersama dua lagi anak saya dan seorang menantu jam 7 malam dengan menaiki kereta.

“Pada waktu itu saya berasa berat hati untuk melepaskan mereka sehinggalah menerima panggilan telefon memaklumkan kejadian menimpa Noraziera dan Shah Faraz,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini kedua-dua anaknya itu dilaporkan stabil dan dijangka dibenarkan keluar daripada Hospital Shah Alam hari ini.

Dalam kejadian malam tadi, tiga individu termasuk seorang kanak-kanak cedera selepas tercampak keluar ketika menaiki permainan taman tema yang berpusing di Eco Grandeur.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Rahilah Rahmat dilaporkan, berkata sitaan dilakukan terhadap pesta ria itu pada 29 November lalu selepas permit operasi tidak diluluskan.

Katanya, selain beroperasi secara haram tapak pesta ria itu juga tidak mendapat kebenaran MPKS, selain polis dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

Susulan itu, MPKS memberi notis kompaun kepada pengusaha tapak pesta ria berkenaan mengikut Seksyen 6 (1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Selangor 1995.

Loading...
Terkini