comscore
Tumpuan :
Nasional

Kematian Dea Maisarah, polis siasat hospital dan penjaga

Oleh: Juliana Sharin

PETALING JAYA: Siasatan ke atas kematian kanak-kanak perempuan, Dea Maisarah Bada, 10 tahun ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang pada Ahad lalu, melibatkan pihak hospital dan penjaga.

Artikel berkaitan: Punca kematian Dea Maisarah disiasat

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan yang dihubungi Buletin TV3 bagaimanapun memaklumkan siasatan masih di peringkat awal dan ada banyak yang perlu dilakukan pihaknya termasuk mendapatkan laporan bedah siasat.

Menurut beliau lagi, siasatan dijalankan Bahagian D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, ekoran laporan polis yang dibuat oleh kedua-dua belah pihak.

Kertas siasatan laporan kematian mengejut (SDR) itu ujarnya dibuka di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001, kesalahan pengabaian terhadap kanak-kanak.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, menerusi perkongsian Facebook malam tadi melahirkan rasa simpati pihak kementerian dan mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham Dea Maisarah.

“Bersama-sama kita doakan roh Allahyarhamah aman dan berada dalam lindungan Yang Maha Esa dan semoga keluarga tabah menghadapi ujian berat ini,” katanya.

Dr Zaliha turut memohon kerjasama semua agar semua pihak menghormati privasi keluarga, selain menegaskan bahawa kejadian tersebut sedang dalam siasatan pihak berkuasa.

Kes kematian kanak-kanak itu tular di media sosial apabila terdapat dakwaan dia lewat diberikan rawatan dan terpaksa menunggu lebih 40 minit sebelum mengalami sesak nafas dan terpaksa diikat kerana meronta.

Pihak hospital juga didakwa membuat laporan palsu berhubung kematian kanak-kanak itu dengan mengatakan mangsa sudah meninggal dunia ketika dihantar untuk mendapatkan rawatan.

Pengarah HTAR, Dr Zulkarnain Mohd Rawi dalam kenyataannya menjelaskan ketika mendapatkan rawatan, kanak-kanak itu dalam keadaan lemah dan telah diberikan rawatan sewajarnya oleh Pakar Perubatan Kecemasan, namun tidak dapat diselamatkan.

Tambahnya, punca kematian kanak-kanak itu masih dalam siasatan Jabatan Perubatan Forensik HTAR.

Jenazah Dea Maisarah dikebumikan 11 Julai lalu di tanah perkuburan Islam Sungai Sireh, Klang.

 

Loading...
Terkini