comscore
Tumpuan :
Nasional

Kematian Qaseh Aulia, pemilik & pengasuh dihadap ke mahkamah esok

FOTO: Ihsan Warga Kota Damansara/ Facebook

PETALING JAYA: Pemilik dan pengasuh taska yang dipercayai menyebabkan kematian bayi berumur dua bulan, Qaseh Aulia Faizul akan dihadapkan ke mahkamah esok.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid pemilik taska akan dituduh mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 5(1) Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak 2012.

“Majikan (pemilik) juga akan dituduh mengikut Peraturan 34(2) dan Peraturan 14 di bawah Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak 2012.

“Pengasuh pula akan dituduh di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan kedua-duanya akan dituduh di Mahkamah Petaling Jaya esok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

10 Oktober lalu, Qaseh Aulia dihantar ke taska di Seksyen 6, Kota Damansara, di sini pada 7.30 pagi oleh ibunya, Maisarah Rosli, 33, sebelum wanita itu ke tempat kerja.

Pada 11 pagi, bapa saudara mangsa menerima panggilan telefon daripada pemilik taska memberitahu Qaseh Aulia tidak sedarkan diri dengan muka kebiruan dan sudah dibawa ke klinik.

Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia dan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) taska berkenaan menunjukkan Qaseh Aulia ditinggalkan dalam keadaan tertiarap ketika kejadian dan tanpa pengawasan selama sejam, sekali gus membuatkan ahli keluarganya sedih.

Sabtu lalu, Maisarah dilapor berkata, memperoleh keputusan bedah siasat anaknya daripada PPUM yang menyimpulkan punca kematian bayi itu akibat sesak nafas.

| ARTIKEL BERKAITAN

 

Loading...
Terkini