comscore
Tumpuan :
Nasional

Kencing tikus: Lata Bayu ditutup sementara

Hutan Lipur Lata Bayu di Baling, Kedah. – FOTO: NSTP

BALING: Pusat Peranginan Lata Bayu, Asam Jawa dekat sini ditutup berikutan dua mangsa sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU ) di sebuah hospital di Kedah, akibat dijangkiti penyakit kencing tikus, selepas berkunjung ke hutan lipur, di situ.

Pegawai Daerah Baling, Yazlan Sunardie Che Yahaya, berkata kes jangkitan itu dilaporkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Baling, semalam.

Beliau berkata, arahan penutupan sementara dikeluarkan Jabatan Perhutanan Kedah, untuk siasatan kes dan aktiviti pencegahan seterusnya.

“Terdapat kes leptospirosis (kencing tikus) yang mempunyai sejarah mandi di Lata Bayu di laporkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Baling.

“Demi menjaga kesihatan dan keselamatan orang awam yang berkunjung ke kawasan rekreasi ini, Lata Bayu akan ditutup sementara untuk siasatan kes serta aktiviti pencegahan seterusnya,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pengunjung yang sudah mandi di situ dan mempunyai tanda-tanda seperti demam, sakit badan, sakit kepala, muntah, cirit birit, sakit perut, jaundis, mata kemerahan dikehendaki mendapat rawatan segera di klinik atau hospital yang berhampiran.

Sementara itu, Pengarah Perhutanan Kedah, Muhammad Abdullah yang dihubungi berkata, kain rentang amaran sudah diletakkan di kawasan itu, pagi tadi, namun difahamkan dibuang individu tidak bertanggungjawab.

Malah, ketika tinjauan dilakukan, pusat rekreasi itu masih dikunjungi orang ramai dipercayai mereka tidak tahu pusat rekreasi ditutup.

Susulan peningkatan pengunjung, pegawai dari Jabatan Kesihatan Daerah Baling telah diarahkan melakukan pemantauan dan pendidikan kesihatan di pusat rekreasi itu.

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Daerah Baling, Mohd Arfan Bibit, berkata pemantauan akan dilakukan selama tiga hari bermula semalam.

“Hari ini kita buat pemantauan di tempat mandi, kita tengok jika ada pelawat yang mandi kita akan buat pendidikan kesihatan.

“Pengunjung yang ada kesan luka kita tak galakkan untuk mandi,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini