comscore
Tumpuan :
Nasional

Kenderaan bawa 10 jenazah mula bergerak ke Kem Batalion Ke-23 RAMD

Oleh: Fahmi Tajuddin

IPOH: Kenderaan jenazah yang membawa 10 mangsa insiden helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terhempas di Lumut, Perak pada pagi Selasa mula bergerak meninggalkan Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini pada jam 4.33 petang tadi.

Konvoi kenderaan tersebut diiringi kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibawa ke Kem Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Ipoh untuk solat jenazah serta istiadat rasmi dan penghormatan terakhir buat kesemua mangsa yang terkorban.

Sementara itu, jenazah mendiang Leftenan T Sivasutan TLDM pula dibawa pulang ke kediaman keluarga di Sitiawan, Perak sebelum disemadikan esok.

Manakala, jenazah mendiang Laskar Kanan JJM Joanna Felicia anak Rohna akan dibawa pulang ke Serian, Sarawak untuk disemadikan.

Jenazah terlebih dahulu akan dibawa ke Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini sebelum diterbangkan ke Kuching menggunakan pesawat C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Terdahulu, TLDM dalam satu kenyataan memaklumkan proses bedah siasat semua mangsa nahas helikopter yang berlangsung di Jabatan Forensik HRPB tamat sepenuhnya jam 2.20 petang.

Loading...
Terkini