comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kerajaan ambil langkah proaktif selesai isu di kawasan FELDA – Zahid

 

BENTONG: Kerajaan Perpaduan mengambil langkah proaktif dalam menyelesaikan empat isu infrastruktur di kawasan FELDA, membabitkan lampu jalan, klinik desa, telekomunikasi dan pos kawalan keselamatan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata hasil kaji selidik badan bebas mendapati masalah ketiadaan lampu jalan serta ketiadaan atau keuzuran klinik desa, menjadi antara rungutan masyarakat FELDA.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sambutan Hari Peneroka FELDA 2023, Julai lalu, telah mengumumkan peruntukan bagi kos operasi lampu jalan sebanyak RM7.7 juta setahun untuk manfaat warga FELDA.

“Saya juga telah berbincang dengan Menteri Kesihatan (Dr Zaliha Mustafa) meminta kawasan FELDA diberikan keutamaan. Kita lihat 13 Oktober ini apabila Perdana Menteri membentangkan Belanjawan 2024, antara projek yang akan menjadi keutamaan ialah mewujudkan dan menaik taraf klinik desa, antaranya di kawasan FELDA,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Sentuhan Kasih Desa @ Simpang Pelangai, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; dan Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, masyarakat FELDA turut menyuarakan masalah telekomunikasi dengan isu itu telah mendapat perhatian Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Katanya, beliau sendiri sudah meminta supaya sebahagian besar kawasan FELDA dipertimbangkan untuk menerima peranti satelit Starlink.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, pemimpin termasuk Menteri Besar, wakil rakyat dan ketua agensi kerajaan perlu turun padang bertemu rakyat untuk mengetahui dan merasai permasalahan dihadapi rakyat.

“Zaman kerajaan tahu semua telah berlalu, zaman kerajaan rasa diri betul juga telah berlalu. Kita wajib turun, denyut nadi rakyat kena dirasai supaya keputusan lebih baik dapat dilakukan untuk rakyat. Ini pendekatan kerajaan sekarang,” katanya. – BERNAMA

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini