comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kerajaan kaji semula syarikat yang menikmati monopoli

JEDDAH, Arab Saudi: Kerajaan akan mengkaji semula syarikat yang menikmati monopoli pada masa lalu, dalam usaha memastikan perkhidmatan ditawarkan lebih berdaya saing untuk semua yang terlibat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semua kementerian telah diminta mengkaji monopoli sedia ada di bawah bidang kuasa mereka, dalam semangat menggalakkan pembangunan ekonomi yang telus dan persaingan yang adil.

“Ini memerlukan kita membuat beberapa pelarasan, dan peralihan daripada sistem yang saya anggap sebagai huru-hara, usang, dan itu hanya melayani kepentingan peribadi ” kata Anwar

“Semua kementerian diminta membuat semakan, bagi memastikan orang ramai diberi perkhidmatan yang lebih baik, dan pada harga yang lebih kompetitif.”

Anwar berkata kerajaan tidak mengingkari komitmennya untuk membantu syarikat Bumiputera.

Beliau berkata inisiatif sedemikian bukan sahaja perlu telus dan adil, tetapi juga membolehkan persaingan yang adil dalam kalangan perniagaan Bumiputera.

“Jika kebimbangan kita adalah untuk melindungi kepentingan Bumiputera, maka jelas dan telus, dan biarkan mereka bersaing,” katanya pada sidang media di akhir lawatan rasmi tiga harinya ke Arab Saudi.

Anwar ditanya mengenai pengumuman Kementerian Pengangkutan pada Jumaat bahawa perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor yang diwajibkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan dibuka kepada pihak berkelayakan dan memenuhi syarat ditetapkan selepas konsesi semasa kepada Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) tamat pada 31 Ogos 2024.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata perkara itu diputuskan Jemaah Menteri pada 17 Mac lalu menyaksikan tiada lagi monopoli PUSPAKOM sebagai penyedia pemeriksaan berkala kenderaan motor berkuat kuasa 1 September 2024.

Minggu lalu, Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan akan mengkaji semula monopoli yang dipegang oleh Touch ‘n Go (TnG), sejak 1997.

Anwar berkata tidak ada sebarang peningkatan ketara dari segi perkhidmatannya sejak penubuhannya.

Loading...
Terkini