comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan kutip hampir RM9.48 juta hasil kompaun Program Repatriasi Migran

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kerajaan berjaya mengutip hampir RM9.48 juta hasil kompaun melalui Program Repatrasi Migran sejak 1 Mac hingga semalam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, bagi tempoh sama, seramai 19,515 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah mendaftar dalam program itu, manakala 13,760 orang telah dihantar pulang ke negara asal.

“Kita akan terus memantau perkara ini sebab program ini kita anggap sebagai suatu inisiatif yang penting dalam menguruskan soal keberadaan PATI di negara kita,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Program Repatriasi Migran yang dilaksanakan Jabatan Imigresen (JIM) bermula 1 Mac sehingga 31 Disember depan.

PATI yang hadir menyerah diri ke mana-mana pejabat Imigresen secara sukarela hanya dikenakan kompaun antara RM300 hingga RM500 mengikut jenis kesalahan, dengan pengecualian pendakwaan di mahkamah.

PATI tersebut juga mesti mempunyai tiket penerbangan pulang dalam tempoh masa 14 hari.

Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan kes pengabaian majikan terhadap 93 warga Bangladesh di Cheras, Kuala Lumpur, Saifuddin berkata, isu penempatan pekerjaan dan penginapan mereka sedang diselesaikan oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

“Mereka ini ada dokumen (pasport dan permit kerja) sebab itu mereka dapat masuk ke Malaysia. Cuma bila masuk sini (Malaysia), majikan tak sediakan pekerjaan dan tempat tinggal.

“Hal ini yang sedang dikendalikan KESUMA. Dari segi proses dokumentasi yang bawah bidang kuasa kami (Kementerian Dalam Negeri) dah selesai,” katanya.

Pada 27 Februari lalu, media melaporkan pihak berkuasa berjaya menyelamatkan 93 pekerja warga Bangladesh yang dilaporkan terabai tanpa disediakan pekerjaan dan penginapan yang kondusif oleh majikan sejak dibawa masuk ke negara ini pada November 2023 oleh sebuah syarikat pembinaan di Cheras.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini