comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan mahu selaraskan imbuhan tetap penjawat awam, guru

Foto hiasan

KOTA BHARU: Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengumumkan berita gembira berhubung penyelarasan imbuhan tetap untuk penjawat awam termasuk warga pendidik, dua minggu lagi.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata beliau akan mempengerusikan mesyuarat penyelarasan yang pertama pada minggu depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto NSTP

“Pengumuman itu (mengenai penyelarasan imbuhan tetap) akan dibuat dalam satu atau dua minggu lagi, sementara menunggu kajian penyelarasan gaji selesai yang dijangka mengambil tempoh lima hingga enam bulan lagi.

Justeru, saya mohon persiapkan beberapa kertas awal untuk tujuan ini,” katanya dalam ucapan dan soal jawab bersama warga pendidik pada Program Cakna Madani Perdana Menteri Bersama Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia, di Dewan Utama Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan timbalannya, Lim Hui Ying.

8 Julai lalu, kenaikan imbuhan tetap perumahan daripada RM350 kepada RM450 adalah antara lapan cadangan dikemukakan CUEPACS dalam skim baharu gaji perkhidmatan awam untuk dipertimbangkan kerajaan.

Cadangan lain ialah memperkenalkan elaun bandar raya RM500; kenaikan gaji tahunan yang perlu ditambah baik kepada RM180, kenaikan pangkat Jawatan Khas Untuk Penyandang (KUP) pertama 10 tahun dan KUP kedua lapan tahun serta gred minimum perkhidmatan awam bermula gred 19, peningkatan gred untuk Skim Perkhidmatan Pembantu Tadbir (PTPO) dan Pembantu Tadbir Kewangan ke Gred 29 serta Sistem Saraan hendaklah dikaji setiap lima tahun sekali.

Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat berkata keadaan ekonomi yang sentiasa berubah dengan mendadak serta ditambah peningkatan kos sara hidup yang begitu ketara menyebabkan semua pihak terkesan dengan bebanannya.

Loading...
Terkini