comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan Sarawak utamakan bantuan persekolahan berbanding perayaan

KUCHING: Kerajaan Sarawak tidak berhasrat untuk memberikan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sama seperti yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan dan negeri lain.

Sebaliknya, memutuskan untuk memberikan bantuan khas kewangan pada penghujung tahun ketika ramai ibu bapa memerlukan wang untuk membeli keperluan persekolahan anak-anak mereka.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pemberian khas itu adalah tidak adil jika diberikan ketika perayaan tertentu sahaja sedangkan banyak perayaan disambut oleh masyarakat pelbagai kaum di negeri itu.

“Yang ini kita kumpulkan semua dan kita beri pada hujung tahun, jadi adil kepada semua masyarakat kerana kita ada banyak perayaan seperti Hari Gawai, Tahun Baru Cina termasuklah Hari Raya Aidilfitri ini,” katanya.

Beliau berkata, jika bantuan terbabit diberikan ketika musim perayaan, ia pasti akan dihabiskan untuk menyambut perayaan sahaja.

Justeru, menerusi perbincangan bersama pegawai perkhidmatan awam, telah diputuskan untuk menggalakkan rakyat berbelanja secara berhemah ketika musim perayaan.

“Yang penting adalah belanja persekolahan anak-anak, jadi sebab itu saya kalau ada pendapatan negeri yang lebih biarlah saya beri pada hujung tahun.

“Pemberian ini seterusnya akan dapat membantu dan meringankan perbelanjaan ibu bapa untuk membeli keperluan persekolahan anak-anak mereka” katanya kepada media selepas Majlis Penyampaian Cek Pampasan Bagi Projek Masterplan Mini Isthmus Gedong di Gedong.

Pada majlis berkenaan, Tan Sri Abang Johari turut menagihkan pampasan tanah yang terlibat dalam projek terbabit kepada 82 penerima berjumlah RM5.2 juta.

Projek itu yang dilaksanakan secara berperingkat akan melengkapi Daerah Gedong dengan pelbagai kemudahan infrastruktur selaras matlamat menjadikan kawasan terbabit sebagai hab pertanian moden.

Loading...
Terkini