comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kerana berebut teman wanita, 7 remaja pukul rakan sekolah

Oleh: Zahir Senapiah

JOHOR BAHRU: Gara-gara berebut teman wanita dipercayai punca tujuh remaja dipercayai pelajar sebuah sekolah di Putri Wangsa dekat sini, bertindak memukul dan menendang seorang rakan mereka seperti yang tular di media sosial sejak petang semalam.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat berkata mangsa yang berumur 15 tahun telah membuat laporan polis.

Artikel berkaitan: Kes belasah remaja lelaki, 7 suspek sudah ditahan 

Siasatan awal mendapati suspek membabitkan 6 remaja tempatan dan seorang remaja bukan warga negara.

Kesemua mereka berumur antara 14 hingga 17 tahun.

Kejadian berlaku di Taman Bestari Indah, jam 4.09 petang, 9 Ogos lalu dan telah mengakibatkan mangsa mengalami lebam di bahagian tangan kiri dan kanan, bengkak di paha kanan dan sakit seluruh badan.

“Hasil siasatan mendapati, salah seorang daripada pembuli marah dengan mangsa kerana berkawan dengan aweknya (teman wanita),” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Difahamkan suspek utama dan mangsa bersekolah di sekolah yang sama manakala enam lagi suspek bersekolah di sekolah lain.

Susulan kejadian itu sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan telah menahan semua suspek dalam serbuan di lokasi berbeza bagi membantu siasatan.

Turut dirampas satu jersi berwarna biru; tiga baju T berlengan panjang berwarna biru gelap; satu baju T berlengan pendek berwarna hitam dan sebuah telefon bimbit.

Ketujuh-tujuh suspek telah dibawa ke Mahkamah Johor Bahru hari ini untuk proses reman.

Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksima dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Loading...
Terkini