comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kereta bertembung lori, pekerja kedai makan maut

 

ALOR GAJAH: Pekerja kedai makan maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan lori dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Paya Lebar, Lubok Cina, di sini, tengah hari tadi.

Mangsa Mohd Afizul Mohd Radzi, 25 tahun yang memandu Perodua Myvi maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dialaminya selepas tersepit di tempat duduk pemandu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan yang membabitkan sebuah lori, Perodua Myvi dan Proton Saga pada jam 1 tengah hari.

Foto: NSTP

Beliau berkata, sebelum kejadian lori dipandu lelaki berusia 30 dan Proton Saga dipandu penjual ikan berusia 56 tahun dalam perjalanan dari arah sama iaitu lampu isyarat Lubok China menghala ke Masjid Tanah manakala kenderaan mangsa yang maut pula dari arah bertentangan.

“Siasatan dijalankan mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila setibanya di lokasi kejadian Proton Saga itu dipercayai berhenti untuk masuk ke simpang kanan.

“Lori yang kebetulan berada dibelakang dipercayai tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian belakang kereta terbabit,” katanya.

Menurut beliau, susulan daripada perlanggaran itu lori berkenaan kemudian terbabas masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan Perodua Myvi dinaiki mangsa dan isterinya.

“Mangsa yang parah dibahagian kepala disahkan meninggal di lokasi kejadian manakala isterinya yang juga parah dikepala kini dirawat di Hospital Melaka.

“Turut mengalami kecederaan dalam kemalangan itu pemandu lori dan dia kini dirawat di sebuah hospital swasta di Seremban, Negeri Sembilan,” katanya.

Arshad berkata, proses bedah siasat akan dijalankan di Hospital Alor Gajah dan siasatan lanjut berhubung kejadian masih diteruskan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan kesemua kenderaan yang terbabit kini ditahan untuk dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) bagi tindakan lanjut,” katanya.

Loading...
Terkini