comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes ‘Ah Long’ larikan kereta, polis tahan dua lagi individu

BUTTERWORTH: Polis menahan dua lagi suspek termasuk seorang pemberi pinjaman wang susulan kes tular di mana sekumpulan individu merampas kereta seorang lelaki di persimpangan lampu isyarat dekat kawasan Mak Mandin, di sini, kelmarin.

Dengan tangkapan dua lelaki ini menjadikan lima suspek ditahan setakat ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie, berkata dua suspek itu berusia 49 dan 57 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Beliau berkata, semua suspek dibawa ke Mahkamah Butterworth pagi tadi untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

“Pihak mahkamah membenarkan lima suspek terbabit ditahan reman selama lima hari sehingga Selasa untuk membolehkan polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya hari ini.

Semalam, polis melancarkan serbuan berasingan di Perak dan Pulau Pinang sebelum menahan tiga lelaki berusia antara 27 hingga 49 tahun dipercayai terbabit dalam kes berkenaan.

Penahanan susulan video tular termasuk laporan polis yang dibuat mangsa pada hari sama kejadian berlaku.

Terdahulu, tular video di media sosial yang memaparkan detik cemas seorang lelaki diheret keluar oleh dua individu tidak dikenali dari kenderaan jenis Perodua Axia dipandunya sehingga orang awam menyangkakan ia kes samun.

Seorang suspek bertopi keledar kemudian masuk ke dalam kereta dan membawa lari kenderaan milik mangsa sehingga hampir melanggar seorang penunggang basikal.

Terdapat sebuah kereta berwarna hitam yang dinaiki seorang lagi suspek di belakang kenderaan mangsa.

Hasil siasatan polis mendapati kejadian mempunyai kaitan dengan pinjaman RM100,000 dengan ‘Ah Long’ yang dikatakan dibuat ibu mangsa.

Loading...
Terkini