comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes buli pelatih TUDM: Enam suspek sudah beri keterangan

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, memeriksa perbarisan anggota polis pada Perhimpunan Khas sempena pertukaran Ketua Polis Pahang di Ibu pejabat Polis Kotinjen (IPK) Pahang, hari ini.

KUANTAN: Enam suspek sudah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung dakwaan terbabit dalam kes buli lima pelatih Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Kuantan pada 12 Mei lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata, setakat ini, suspek hanya dipanggil untuk memberi keterangan dan tidak ditahan.

“Setakat ini, kita telah merakam lebih 10 keterangan daripada saksi, suspek dan mangsa, namun siasatan lanjut masih sedang berjalan.

“Kita akan memanggil sebanyak mungkin saksi dalam kalangan pelatih dan penyelia untuk mendapatkan seberapa banyak keterangan berhubung kes terbabit,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ramli menghadiri Perhimpunan Khas sempena pertukaran Ketua Polis Pahang, di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Pahang, di sini.

Ramli berkata, pihaknya menjangkakan siasatan kes berkenaan tidak akan mengambil masa lama berikutan ia berlaku di satu lokasi dan tidak membabitkan saksi bebas.

“Sekiranya didapati pelaku melakukan kesalahan itu dan pada pendapat DPP (Timbalan Pendakwa Raya) perkara ini perlu dibawa untuk pertuduhan, maka kita akan teruskan.

“Kita nak ingatkan kepada semua pihak yang diberi kuasa terutama dalam konteks pusat latihan supaya perkara seperti ini dapat dibendung.

“Kadang-kadang wujud persepsi bahawa benda seperti ini adalah satu ciri yang menjadi budaya,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, lima pelatih kursus TUDM mendakwa dipukul anggota senior ketika menjalani latihan di Pangkalan Udara Kuantan.

Kejadian terbongkar selepas keluarga seorang daripada mangsa tampil membuat laporan polis serta memuat naik ke media sosial Twitter.

Loading...
Terkini