comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes bunuh Zayn Rayyan: Peguam buat permohonan kedua untuk jumpa anak guam esok

Oleh: Juliana Sharin

PETALING JAYA: Bukan mahu menganggu siasatan, sebaliknya mahu pastikan anak guam diberikan hak ketika dalam tahanan.

Itu luah peguam kepada ibu bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin berkaitan permohonan pihaknya untuk bertemu pasangan itu yang kini dalam tahanan reman.

“Tujuan kami bukanlah untuk atau ingin menganggu siasatan kami amat menghormati proses siasatan yang dijalankan pihak PDRM.

“Namun hanya ingin memastikan bahawa anak guam kami diberikan hak mereka ketika dalam tahanan reman di mana mereka masih lagi adalah suspek dan bukan orang yang dituduh.

“Dan pihak kami percaya bahawa akses kepada mereka dalam tahanan reman adalah dibolehkan dari segi undang-undang walaupun ianya tertakluk kepada budi bicara pihak PDRM sendiri,” katanya yang dihubungi Buletin TV3.

Justeru, Fahmi Abd Moin berkata pihaknya akan menghantar permohonan kali kedua esok, selepas permohonan pertama minggu lalu tidak mendapat sebarang maklum balas.

Bekas Timbalan Pendakwa Raya selaku peguam mewakili pasangan itu, berkata pihaknya amat mengharapkan kerjasama polis untuk membenar diadakan pertemuan sebelum tempoh reman selama enam hari berakhir Rabu.

“Pihak kami peguam peguam masih belum menerima maklum balas daripada pihak PDRM berkaitan permohonan pertama yang telah dimajukan minggu lepas. Seperti mana arahan majistret pada tarikh sambung reman 7 Jun baru-baru ini, mahkamah majistret telah mengarahkan pihak PDRM untuk respon kepada permohonan bertulis kami sama ada membenarkan atau menolak serta memberikan alasan-alasan mereka jika ia ditolak.

“Justeru pihak kami bercadang untuk memajukan sekali lagi permohonan yang sama, jangkaan adalah esok,” jelasnya.

Semalam Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan siasatan polis mendapati terdapat percanggahan keterangan ibu, bapa dan saksi lain membabitkan kes pembunuhan Zayn Rayyan.

Berikutan itu pihaknya memohon lanjutan tempoh reman sehingga 12 Jun ke atas ibu bapa mangsa bagi melengkapkan kertas siasatan dan mendapat kebenaran Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Jumaat lalu.

Setakat ini, tiga individu iaitu bekas pengasuh dan dua ahli keluarga pengasuh berkenaan sudah dipanggil untuk dirakam keterangan.

Loading...
Terkini