comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes pelajar dirotan hingga cedera kerana tak solat tarawih disiasat polis

Foto hiasan

KUANTAN: Kejadian pelajar lelaki sebuah kolej vokasional di Rompin yang cedera di belakang badan, punggung dan lengan kanan akibat dirotan guru, pagi kelmarin sedang disiasat polis.

Mangsa berumur 18 tahun dikatakan dirotan lebih 10 kali selepas diarahkan berkumpul pada jam 7.45 pagi di kawasan perhimpunan bahagian bawah asrama kolej bersama beberapa pelajar lain.

Difahamkan, pelajar itu dihukum kerana tidak mengikuti solat tarawih bersama rakan.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Nor Azman Yusof berkata, mangsa datang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Rompin pada 5.33 petang kelmarin ditemani ibu saudaranya.

“Mangsa mendakwa dia dirotan oleh guru yang juga warden asrama.

“Terdapat kesan kecederaan di belakang badan, punggung dan lengan kanan pelajar terbabit dipercayai dirotan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pelajar terbabit mendakwa guru itu bertindak merotan dia dan beberapa rakan di hadapan pelajar lain kerana tidak menyertai solat tarawih yang perlu dilakukan sepanjang Ramadan kali ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324A Kanun Keseksaan (KK) kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) ketika dihubungi enggan mengulas.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini