comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Ketirisan subsidi: KPDN teliti akta, pinda hukuman lebih berat

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang teliti untuk meminda akta sedia ada agar hukuman lebih berat dikenakan termasuk terhadap penyeleweng diesel bersubsidi.

Tidak sekadar menambah baik tindakan punitif, Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Azman Mohd Yusof berkata, pihaknya turut menekankan penggunaan teknologi canggih, penguatkuasaan lebih agresif selain memperkenalkan model ekonomi sempadan dalam usaha mengekang ketirisan subsidi yang mengakibatkan kerugian besar kepada rakyat negara dan negara.

Justeru, menurutnya, pegawai kanan KPDN telah diarah untuk perhalusi semua undang-undang di bawah kementerian termasuk Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Sudah tiba masanya kita memeriksa semula antara dasar, peraturan dan undang-undang untuk lihat bagaimana boleh pertingkatkan lagi (hukuman) untuk memastikan kita dapat terus mengekang tindakan penyelewengan agar mereka (pesalah) dikenakan hukuman lebih berat bukan sahaja kompaun malah penjara.

“(Hukuman) penjara memang dah ada cuma tempoh untuk dipenjarakan itu harus dilihat semula supaya memberi pengajaran dan kesedaran kepada mereka yang ingin melakukan kesalahan bahawa undang-undang akan lebih keras selepas ini,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Buletin TV3 di sini.

Di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, mana-mana individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, bagi syarikat yang disabitkan kesalahan di bawah akta sama pula boleh didenda tidak melebihi RM2 juta ringgit dan tidak melebihi RM5 juta untuk kesalahan berikutnya.

Sebelum ini, Buletin TV3 melaporkan, KPDN dengan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi dapat menyelamatkan lebih RM1 juta diesel bersubsidi daripada pengkhianat negara dan sindiket menerusi Ops Tiris bagi tempoh 1 Mac hingga 16 Mac lalu.

Mengulas lanjut, Datuk Azman berkata, bagi meningkatkan penguatkuasaan seluruh negara, beliau sedia berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menambah jumlah pegawai penguat kuasa daripada 2,200 orang ketika ini, yang disifatkannya tidak mencukupi.

Beliau berkata, pihaknya turut memohon peruntukan pembelian aset penguatkuasaan seperti kenderaan darat dan bot terkini daripada Kementerian Kewangan.

Pada masa sama, KPDN juga bakal memperluas lebih banyak stesen minyak tanpa subsidi di negeri berhampiran sempadan sebagaimana dilakukan di Perlis.

Setakat ini, lima permohonan diterima daripada pengusaha stesen minyak.

Jelas Azman lagi, pihaknya telah berbincang bersama syarikat pengendali minyak untuk mencari kaedah memperkenal minyak tidak bersubsidi di stesen kendalian mereka.

Ini merangkumi cadangan penyediaan tangki skid diesel yang disifatkan lebih mudah dan cepat berbanding pembinaan stesen minyak baharu.

Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Azman Mohd Yusof.

“Kita juga sedang mengkaji sistem (minyak tanpa subsidi) untuk diperkenalkan di stesen minyak sedia ada. (Cadangan) ini kena hati-hati sebab bila dibuat di stesen sedia ada, kita nak tahu perbezaan pam minyak subsidi dan tanpa subsidi, ada laluan khas untuk mengisi minyak subsidi atau tidak.

“Ini semua harus diperhalusi kerana kadang-kadang kita khuatir kalau diletakkan (minyak subsidi dan tanpa subsidi) di stesen minyak yang sama, jadi orang akan ambil peluang untuk mencari jalan melakukan penyelewengan.

“Mereka mungkin berpakat pula dengan pihak stesen minyak kerana sebelum ini ada pihak stesen didapati bersalah bersekongkol dengan kumpulan penyeleweng ini (dengan menjual petrol atau diesel subsidi), katanya.

Beliau berkata, KPDN turut mengkaji penggunaan semula teknologi penanda bahan api yang mampu membezakan bahan api bersubsidi dan bukan subsidi, sekaligus mencegah aktiviti penyelewengan serta penyeludupan.

Di penghujung temubual, Azman meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi untuk menyalurkan aduan lengkap kepada pihak kementerian.

Aduan boleh dibuat menerusi aplikasi WhatsApp di talian 019-279 4317 / 019-848 8000; portal e-Aduan KPDN iaitu http://e.aduan.kpdn.gov.my; Call Centre 1-800-886-800; e-mel ([email protected]); aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN; atau hubungi Bilik Gerakan Penguatkuasaan di talian 03-8882 6088 / 6245.

Loading...
Terkini