comscore
Tumpuan :
Jenayah

KPDN rampas 42,000 liter diesel bersubsidi cuba diseleweng

FOTO: NSTP/ Ihsan KPDN

BUKIT MERTAJAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang membongkar penyelewengan 42,000 liter diesel bersubsidi disembunyikan dalam sebuah stor di kawasan ladang kelapa sawit yang terletak kira-kira 500 meter dari jalan utama.

Dalam serbuan 2.30 petang di Kampung Teluk Wang di sini, KPDN negeri merampas 42,000 liter diesel bersubsidi berserta pelbagai barangan untuk kegiatan pemindahan bahan api berkenaan dengan nilai keseluruhan RM111,800.

Pengarah KPDN Pulau Pinang S. Jegan berkata Ops Tiris 3.0 telah mengesan kegiatan itu dalam serbuan terhadap stor tidak bernombor di kawasan ladang kelapa sawit berkenaan terletak jauh dari jalan utama bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Beliau berkata ketika pasukannya sampai di stor ditutupi dengan zink itu, terdapat seorang lelaki warga tempatan yang kemudiannya bertindak melarikan diri melalui semak di bahagian belakang stor sebelum masuk ke dalam ladang kelapa sawit.

Pengarah KPDN Pulau Pinang S Jegan menunjukkan diesel serta peralatan yang disita ketika mengadakan serbuan di sebuah stor haram di Teluk Wang, Bukit Mertajam. – FOTO: NSTP/ Ihsan KPDN

“Pemeriksaan dalam stor itu menemukan dua buah tangki yang setiap satu berkapasiti 18,000 liter dan enam tangki plastik boleh memuatkan 1,000 liter setiap satu.

Kami menemukan 42,000 liter minyak diesel dalam kesemua tangki tersebut,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.

Menurut Jegan, kesemua tangki berkenaan bersambung dengan motor pam dan saluran paip getah dipercayai digunakan untuk aktiviti pemindahan diesel daripada lori-lori yang telah diubah suai ke dalam tangki di situ.

Katanya, modus operandi sindiket itu adalah dengan membuat pembelian dari stesen minyak sekitar kawasan sebelum dibawa dan dikumpul di stor sebelum diedarkan kepada pihak industri.

“Berdasarkan risikan dan intipan, kami mendapati sindiket itu menjalankan pemindahan minyak diesel pada tengah malam hingga awal pagi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa dan mereka mengambil masa dua hari untuk memenuhkan kesemua lapan tangki yang terdapat di situ.

“Selepas itu sebuah lori tangki akan datang untuk mengambil kesemua 48,000 liter diesel tersebut untuk dijual kepada pihak industri dengan harga lebih mahal daripada harga subsidi namun lebih murah berbanding harga pasaran,” katanya.

Beliau berkata siasatan turut mendapati sindiket itu beroperasi di stor tersebut sejak tiga bulan lepas dan dipercayai menjalankan kegiatan berkenaan secara berpindah-randah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Berdasarkan buku catatan di stor berkenaan, sindiket itu mampu mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit setiap bulan dan ahli sindiket dibayar upah sehingga RM5,000 berdasarkan perjalanan mendapatkan bekalan diesel bersubsidi.

Beliau berkata siasatan masih dijalankan termasuk mengesan rangkaian sindiket dan pemilik tanah tempat stor berkenaan.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini