comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Keutamaan taraf warganegara kepada anak angkat

Saifuddin (dua dari kanan) ditemani Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain (kanan) pada Majlis Penerapan Murni dan Iftar KDN Madani di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan. – Foto: NSTP

SEREMBAN: Anak angkat dan individu lahir sebelum merdeka diberi keutamaan mendapat status warganegara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kategori anak angkat paling banyak diterima daripada keseluruhan 133,436 permohonan, yang masih diproses setakat ini tetapi tidak menyatakan jumlah permohonan kategori berkenaan.

Katanya, bagi kategori yang lahir sebelum merdeka juga perlu diberikan keutamaan kerana rata-rata mereka yang terbabit sudah mencecah usia 70 dan 80 tahun dengan 3,000 permohonan.

“Kita, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertekad untuk memberikan keutamaan kepada kategori anak angkat yang paling banyak diterima dan ada kalangan mereka ini membuat permohonan sejak lebih 12 tahun lalu.

“Bayangkan kesan kepada mereka selama ini dan apabila kita mengeluarkan surat kelulusan warganegara ini bermaksud akses kepada pendidikan, kesihatan dan apabila mereka menamatkan pekerjaan nanti, kehidupan akan menjadi lebih kepastian,” katanya selepas merasmikan Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar KDN Madani di sini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, dalam mempertimbang proses memberi warganegara, pegawai KDN mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Permohonan itu akan ditapis oleh jawatankuasa panel kewarganegaraan diketuai Timbalan Ketua Setiausaha Bahagian Dasar,” katanya.

Saifuddin berkata, KDN menyasarkan untuk menyelesaikan sekurang-kurangnya 10,000 permohonan bagi mendapatkan status kewarganegaraan sehingga akhir tahun ini.

“Setakat tiga bulan ini, saya sudah meluluskan 6,079 permohonan kewarganegaraan,” katanya.

Loading...
Terkini