comscore
Tumpuan :
Nasional

Khutbah khas kenang 10 wira TLDM terkorban

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob menyampaikan khutbah khas sempena sambutan Hari TLDM Ke-90 di Masjid An-Nur, Pangkalan TLDM Lumut, di Lumut hari ini.-Foto: NSTP

LUMUT: Suasana pilu menyelubungi Masjid An-Nur, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, di sini, hari ini apabila khutbah khas sempena sambutan Hari TLDM Ke-90 menyentuh mengenai pemergian 10 anggota dan pegawai yang terkorban dalam tragedi helikopter terhempas, Selasa lalu.

Khutbah bertajuk “TLDM Perkasa, Kedaulatan Terpelihara” itu disampaikan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob di hadapan seramai 3,000 warga TLDM.

Dalam khutbah khas itu, beliau berkata nahas membabitkan helikopter operasi maritim AW 139 dan Fennec itu memberi kesan yang sangat mendalam dan satu kehilangan besar buat TLDM serta negara.

“Wahai wira dan wirawati negara yang kami sayangi, sedarlah bahawa kamu telah menggadaikan nyawa demi ibu pertiwi dan tanah air yang tercinta ini.”

“Pengorbanan yang telah kamu berikan pastinya tidak dapat kami balas dengan air mata. Hanya doa sahaja yang mampu kami titipkan agar rohmu sentiasa dirahmati Allah,” katanya.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah diiringi Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob menunaikan solat Jumaat di Masjid An-Nur, Pangkalan TLDM Lumut, di Lumut hari ini.-Foto: NSTP

Menurutnya, masyarakat dapat menikmati suasana aman dan damai tanpa sebarang ganggu gugat musuh khususnya di perairan maritim negara hasil jasa yang telah, sedang dan akan terus dipikul oleh TLDM bagi menjamin kedaulatan perairan dan kepentingan negara.

“Meniti 27 April 2024 ini, genaplah usia 90 tahun TLDM. Sekian lama menyumbang bakti dan pengorbanan yang telah dicurahkan demi keamanan dan kesejahteraan negara tercinta,” katanya.

Abdul Rahman berkata TLDM berjaya melaksanakan sebanyak 424 siri operasi melibatkan enam operasi berterusan dan tiga operasi berkala dengan memastikan kehadiran aset TLDM di kawasan operasi maritim (KOM).

Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke majlis bacaan yasin, tahlil dan khutbah khas sempena sambutan Hari TLDM Ke-90.

Keberangkatan tiba baginda yang juga Kapten Yang Dipertua TLDM jam 12.15 tengah hari, disambut oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Abdul Rahman.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini