comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kilang edar stoking ada kalimah Allah diperiksa polis 

BATU PAHAT: Polis menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kilang beroperasi di kawasan perindustrian Sri Gading, di sini, hari ini susulan dakwaan kilang itu terbabit dengan penjualan stoking tertera kalimah ‘Allah’ .

Berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan sejak jam 9 pagi tadi pihak polis menemui lima pasang stoking tertera kalimah Allah yang dipercayai dipulangkan oleh tiga kedai serbaneka KK Mart di Bandar Sunway.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata stoking itu ditempah daripada sebuah syarikat di China dengan kilang itu hanya terbabit dalam pembungkusan dan pengedaran untuk pasaran tempatan khususnya kedai serbaneka KK Mart.

Beliau berkata, operasi itu membabitkan pasukan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, pihaknya menjalankan pemeriksaan ke atas 16 bundle stoking yang diimport dari China.

“Dalam 16 bundle (stoking) yang terdiri 18,800 pasang itu, polis tidak menemui stoking baru yang tertera kalimah itu setakat ini.

“Untuk itu, polis membuka tiga kertas siasatan berhubung isu ini antaranya Seksyen 298 A Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.

“Siasatan ini juga selari dengan siasatan dijalankan Unit Siasatan Terkelas Bukit Aman,” katanya pada sidang media selepas pemeriksaan ke atas kilang itu, hari ini.

Ismail berkata, pemeriksaan dijalankan susulan maklumat diterima menyatakan kilang itu terbabit dengan pengedaran stoking tercetak kalimah Allah.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan pemeriksaan ke atas semua stoking diimport dari China dijangka selesai hari ini.

“Saya memohon semua pihak termasuk NGO (Pertubuhan Bukan Kerajaan), individu supaya tidak mengambil tindakan menyalahi undang-undang seperti perhimpuan, ‘flash mob’ atau demonstrasi berkaitan dengan isu ini.

“Kami mohon semua pihak memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan malah kami tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau NGO ataupun pertubuhan yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Susulan isu ini, sekurang-kurangnya 13 laporan polis berhubung penjualan stoking tertera kalimah ALLAH telah dibuat termasuk Pemuda UMNO di seluruh negara.

Justeru, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjalankan siasatan berhubung penjualan stoking tertera kalimah ‘Allah’ walaupun permohonan maaf sudah dibuat oleh KK Mart dan vendornya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini