comscore
Tumpuan :
Nasional

IKIM gesa tindakan mengenai isu stoking tertera kalimah Allah 

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

KUALA LUMPUR: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menggesa agar pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya sekiranya ada unsur menghina agama Islam dalam isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di salah satu cawangan kedai serbaneka terkemuka, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart).

Ketua Pengarahnya, Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil menerusi satu kenyataan memberitahu, tindakan mempermainkan perkara berkaitan ketuhanan adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi dalam Islam.

“Pihak IKIM turut berdukacita dan terkilan dengan isu yang berlaku ini sementelahan ia melibatkan kalimah Allah yang merupakan kalimah agung bagi masyarakat Islam.

“Insiden ini merupakan kecuaian daripada pihak vendor dan pihak KK Super Mart sendiri, jadi ia tiada kena-mengena dengan pihak kerajaan.

“Dalam sebuah negara yang berbilang kaum, bangsa dan agama, sensitiviti masyarakat Malaysia perlulah dijaga sebaiknya demi mengekalkan keharmonian dan kedamaian yang telah dikecapi sejak sekian lama.

“Sehubungan dengan itu, pendekatan hidup dalam keadaan aman dan damai seperti yang ditekankan dalam Fiqh al-Ta’ayush (peaceful co-existence) hendaklah diterapkan dalam semua lapisan masyarakat.” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Pihak IKIM juga menyeru supaya orang ramai mendapatkan maklumat betul dan membuat aduan di saluran yang tepat supaya dapat disiasat oleh pihak berkuasa.

Tular kebelakangan ini berhubung isu penjualan stoking berjenama MiranoSock yang tertera kalimah Allah di salah satu cawangan kedai serbaneka terkemuka itu.

Menerusi kenyataan pihak KK Super Mart, stoking tersebut merupakan produk ‘consignment’ daripada pihak vendor (Syarikat Xin Jian Chang Sdn Bhd) yang menjual barang mereka dengan sistem sewaan tempat dalam premis kedai serbaneka terbabit.

Pihak vendor memohon maaf dan mengakui kesilapan kerana tidak membuat pemeriksaan secara teliti berkenaan produk yang diambil dari China.

Dalam satu sidang media di Menara KK Super Mart pada 16 Mac 2024, pengasas dan juga Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Super Mart, Datuk Seri Dr KK Chai turut memohon maaf dan kesal dengan isu yang berlaku serta bertegas akan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) dari segi pemeriksaan secara rapi terhadap sesuatu produk yang diterima daripada pembekal selepas ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini