comscore
Tumpuan :
Nasional

Kisah tandas dan tembikai percuma untuk perantau terkandas kesesakan lalu lintas

Anda juga boleh dapatkan entri Wira Hatiku dengan klik pada gambar atau scan QR code tertera.

 

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah 

SETIU: Usai menunaikan solat sunat Dhuha, Kak Mek dan Pok Nong keluar rumah menjawab salam dan menjemput masuk ke rumahnya.

Nak tumpang tandas? Sambil berseloroh dan tidak lekang melemparkan senyum dan disambut dengan ketawa apabila rumah mereka dikunjungi Buletin TV3.

Baru saja bertentang mata, bagaikan sudah lama mengenali pasangan suami isteri, Sakarnor Yunus dan Mek Manis Adam, masing-masing berusia 68 dan 63 tahun dek keramahan mereka berdua.

Raya ketiga baru-baru ini, rumah Kak Mek dan Pok Nong yang terletak di Kampung Padang Saujana, Setiu, menjadi tular apabila keluarga bermurah hati menawarkan ‘tandas percuma’ buat anak perantau yang terkandas dalam kesesakan teruk.

Bukan sahaja tandas percuma, tuan rumah turut menawarkan tempat menunaikan solat, cas telefon dan mengizinkan mereka yang mahu memandikan anak.

Menurut Kak Mek, ini bukan kali pertama mereka berbuat demikian dan sudah acap kali setiap musim perayaan apabila ramai yang terkandas.

“Ini bukan kali pertama, idea ini datang dari anak-anak kami yang kasihankan perantau yang mahu pulang ke ibu kota tersadai dalam kesesakan.

“Jadi, kami mempunyai tandas dan bilik berasingan di tepi rumah dan kami buka kepada mereka yang memerlukan”, katanya.

Kongsinya, mereka sangat kasihan melihat mereka yang terkandas dari waktu Asar sehingga waktu Isyak belum lagi dapat keluar dari kesesakan di laluan alternatif bersebelahan rumah.

Ada juga yang kecundang dan tewas keletihan mahu menyewa bilik untuk berehat seketika dan ada juga perantau yang berkongsi juadah raya yang dibawa pulang dari kampung masing-masing.

Risiko tandas percuma

Pok Nong pula ditanya sama ada mereka sekeluarga bimbang akan risiko jika ada orang asing yang cuba mengambil kesempatan.

“Saya hanya tawakal kepada Allah, niat saya hanya ikhlas membantu dan setakat ini tiada yang ambil kesempatan, semunya baik-baik dan amat berterima kasih”, ujarnya.

 

Pasangan suami isteri ini juga amat gembira kerana dapat mengeratkan silaturahim dengan perantau selepas singgah melepaskan ‘hajat’ di rumah mereka.

“Ada yang mahu pulang ke Melaka, Seremban, Kuala Lumpur, tumpang tandas kami, indah sungguh berhari raya dapat mengeratkan silaturrahim walaupun cuma seketika dan ia amat bermakna”.

Sejak menjadi kisah tandas percuma menjadi tular, Kak Mek sekeluarga menjadi bualan netizen dan turut dipaparkan dalam media perdana.

Kata mereka, bukan mahukan perhatian umum tetapi mempermudah dan membantu orang dalam kesusahan amat dituntut agama.

Tembikai Percuma

“Saya dalam perjalanan ke pejabat pos, nak akan Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk anak”, ujar Muhamad Lukman Nur Hakim A.Rahman, 26; ketika dihubungi Buletin TV3 sebaik sampai di gerai jualan tembikainya di Kampung Beris Tok Ku, Setiu.

Selepas 20 minit menunggu, dia tiba di gerai jualan bersama isteri, dan ibunya.

Dikenali sebagai Akim, kisahnya memberi tembikai percuma kepada perantau yang terkandas di kesesakan lalu lintas raya ketiga lalu turut mendapat perhatian warganet.

Mengusahakan ladang tembikai bersama ibunya, Fauziah Abdullah, 60; mereka juga tidak percaya kisah memberi tembikai percuma menjadi tular.

“Setiap tahun, saya dan ibu akan memberi tembikai percuma kepada perantau dan tahun ini sekali lagi dapat berbuat demikian.

“Hajatnya, selain buah tembikai, kami nak buat jus tembikai tetapi pada hari kejadian kedai banyak tutup dan tak sempat nak beli balang dan cawan, kami tangguh niat ini untuk perantau di musim perayaan tahun depan”, katanya sambil ketawa.

Menurutnya lagi, tahun ini sebanyak dua tan tembikai hasil tuaian di ladangnya diagihkan kepada perantau di tepi jalan.

“Kami tanam buah tembikai ini pada Disember lalu dan sempat dituai untuk dijual dan selebihnya diberi kepada mereka yang terkandas”.

Selain agihan dibuat di tepi jalan, ibunya juga tidak menang tangan mengagihkan tembikai di hadapan rumah kepada perantau dibantu anak-anaknya yang lain.

“Syukur Alhamdulillah, tanaman tembikai tahun ini menjadi dan buahnya juga sangat berkualiti”.

“Saya ikhlas berbuat demikian kerana Allah telah menyuburkan tanaman saya dan lebihan dari hasil tuaian kami sekeluarga mahu berkongsi rezeki”, kata Fauziah.

Untuk persiapan agihan tembikai percuma pada Hari Raya Aidiladha akan datang, Akim sekeluarga berharap tembikai yang ditanam di ladang seluas lebih tiga hektar dapat dituai dan diberi kepada perantau yang pulang beraya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini