comscore
Tumpuan :
Nasional

KKM harap pembinaan Pusat Kanser Sarawak dibentang dalam bajet

Oleh: Aslina Abu Bakar

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berharap projek pembinaan Pusat Kanser Sarawak menjadi antara intipati dalam pembentangan Bajet pada 13 Oktober depan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, di peringkat KKM, pihaknya telah mewujudkan jawatankuasa khas bagi memastikan kelancaran projek berkenaan.

“Sememangnya menjadi hasrat kerajaan Sarawak, supaya projek ini dapat diumumkan pada pembentangan bajet memandangkan dana yang tersedia sudah disiapkan untuk dihantar kepada Kementerian Kewangan.

“Proses penyaluran dana dan juga persetujuan Kerajaan Pusat membenarkan KKM membangunkan pusat kanser menjadi intipati perbincangan yang telah dibincangkan antara Perdana Menteri,  Premier Sarawak, dan KKM,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media sempena Majlis Ulang Tahun Ke-10 Institut Kanser Negara (IKN), di sini, hari ini.

Terdahulu media melaporkan, Kerajaan Sarawak bersedia membina sebuah pusat kanser menggunakan dana negeri sebanyak RM1 Billion menjelang akhir tahun ini jika Kerajaan Persekutuan bersetuju dengan cadangan tersebut.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pusat itu akan menyumbang kepada penjagaan kesihatan wilayah berkenaan dan memenuhi keperluan pesakit kanser dari Sarawak, Sabah dan negara jiran.

Sehubungan itu, KKM sedia membentangkan cadangan tapak pembinaan Pusat Kanser Sarawak kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa turut memaklumkan tapak dan lokasi pembinaan pusat kanser itu juga telah dikenal pasti.

Loading...
Terkini