comscore
Tumpuan :
Nasional

KKM kaji beri vaksin influenza kepada golongan berisiko

KUALA TERENGGANU: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengkaji keperluan pemberian vaksin influenza kepada orang ramai terutama golongan berisiko bagi mengekang penularan jangkitan itu.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, ketika ini pemberian vaksin pada peringkat awal hanya akan membabitkan petugas kesihatan barisan hadapan.

“Buat masa ini, kita lakukan untuk kakitangan dahulu sebab mereka adalah pertahanan hadapan, jadi Insya-Allah, kita boleh fikirkan kemungkinan (pemberian vaksin) untuk rakyat (terutama) yang ada risiko.

“(Vaksin influenza untuk petugas) belum diberikan lagi mungkin dalam satu, dua bulan ini, Insya-Allah kita akan cuba dapatkan untuk lindungi petugas kesihatan khususnya petugas barisan hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Klinik Kesihatan Manir di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, jangkitan influenza di negara ini masih terkawal dan semua fasiliti kesihatan yang ada mampu menampung pesakit sekiranya berlaku peningkatan kes dalam masa terdekat.

Beliau berkata, semua fasiliti kesihatan awam di seluruh negara juga menyediakan pusat saringan demam bagi menangani mana-mana kes yang mempunyai gejala influenza.

Katanya, setakat ini, keadaan kes berkenaan masih terkawal apabila jumlah kes menunjukkan penurunan.

“Kalau kita lihat data KKM untuk minggu epidemiologi ke 30 pada tahun ini iaitu daripada 23 Julai hingga 29 Julai 2023, kadar konsultasi kes penyakit seperti influenza (ILI) di klinik kesihatan adalah 6.3 peratus.

“Ini bermaksud daripada 100 kes (pesakit) ada enam yang menghidap influenza dan jumlah itu sedikit menurun berbanding dengan minggu epidemiologi yang sebelumnya iaitu 6.4 peratus.

“Malah, kadar kemasukan kes ini ke hospital pula adalah 7.1 peratus pada minggu epidemiologi ke-30 yang menunjukkan penurunan 0.4 peratus berbanding minggu sebelum ini iaitu 7.5 peratus,” katanya.

Loading...
Terkini