HOME / Nasional

KKM Tubuhkan Pasukan Petugas Khas Bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa sebuah pasukan petugas khas bebas yang dinamakan Pasukan Petugas Khas Bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan atau Healthcare Work Culture Improvement Task Force (HWCITF) telah ditubuhkan secara rasmi pada 13 Mei 2022.

Selain daripada insiden melibatkan kematian seorang Pegawai Perubatan Siswazah (PPS) di Hospital Pulau Pinang, terdapat juga laporan dan aduan yang diterima berkaitan kejadian buli serta masalah tekanan mental yang dihadapi, bukan sahaja oleh PPS, malahan kakitangan perkhidmatan kesihatan semasa melaksanakan perkhidmatan mereka.

Justeru mengambil kira kepentingan perkhidmatan kesihatan oleh KKM kepada negara dan pembangunan modal insan, skop dan terma Pasukan Petugas Khas ini akan merangkumi aspek budaya kerja serta pengurusan sumber manusia kakitangan kesihatan untuk memastikan penyampaian mutu perkhidmatan yang berkualiti serta professional.

Dalam satu kenyataan media, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan, Pasukan Petugas Khas ini adalah sebuah badan bebas yang keanggotaannya dinilai dan ditentukan oleh beliau sendiri.

Ia antara lain bertujuan dan berperanan untuk :

1. Membuat analisa dan penilaian budaya kerja, pengurusan sumber manusia kakitangan perkhidmatan kesihatan, secara umum dan PPS, secara khusus. § Ia merangkumi aspek masa dan beban kerja, saluran aduan, kepimpinan, bimbingan dan latihan, penilaian prestasi, penyampaian perkhidmatan, serta peluang kerjaya;

2. Menganalisa maklumat dan hasil siasatan insiden kematian PPS di Hospital Pulau Pinang;

3. Memanggil dan mendapatkan penerangan tentang budaya kerja serta proses pengurusan sumber manusia bagi perkhidmatan kesihatan secara umum, dan PPS secara khusus. § Ia akan melibatkan sesi taklimat dan libat urus bersama bahagian di KKM yang berkaitan, kakitangan KKM, badan berkanun, badan bukan kerajaan serta mana-mana pihak atau individu berdasarkan keperluan.

4. Mencadangkan lantikan pihak perunding berkaitan kepada KKM bagi tujuan menyokong fungsi dan peranan HWCITF jika perlu;

5. Menjalankan kaji selidik dan analisa yang berkaitan;

6. Menyediakan laporan penilaian serta cadangan penambahbaikan budaya kerja dan pengurusan sumber manusia kakitangan perkhidmatan kesihatan, secara umum dan PPS, secara khusus untuk dibentangkan kepada Menteri Kesihatan dalam tempoh dua (2) bulan dari tarikh penubuhan.

Pasukan Petugas Khas ini akan dipengerusikan oleh Professor Datuk Ir Ts Dr Siti Hamisah Tapsir iaitu mantan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Beliau juga pernah memegang jawatan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi dari tahun 2017 hingga 2019 dan kini menjawat jawatan Naib Canselor UCSI selepas 33 tahun berkhidmat sebagai penjawat awam. Selain itu, ia juga akan dianggotai kumpulan pakar yang terdiri daripada lapan (8) individu yang profesional dan pakar dalam bidang masing-masing.

Mereka adalah:

1. Datuk Hamidah Naziadin

a. Berpengalaman luas selama 31 tahun dalam bidang sumber manusia. Beliau pernah menjawat jawatan Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan CIMB dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan CIMB, di mana beliau berjaya menerajui agenda tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kumpulan CIMB.

b. Beliau juga kini adalah seorang daripada Ahli Lembaga Majlis Sukan Negara (MSN) dan seorang yang aktif membimbing dan melatih golongan muda dan wanita dalam pelbagai bidang.

2. Prof Dr Zabidi A. M. Hussin

a. Seorang Pakar Pediatrik dengan bidang pengkhususan dalam Neurologi Pediatrik dan Pendidikan Perubatan serta mempunyai kemahiran dalam bioetika dan komunikasi, Prof Dr Zabidi kini merupakan Pro-Naib Canselor, Akademik dan Profesor Pediatrik di Fakulti Perubatan dan Kesihatan IMU. Beliau juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pegawai Perubatan Siswazah Majlis Perubatan Malaysia.

3. Mohamed Ridza Mohamed Abdulla

a. Seorang peguam dan rakan kongsi di Mohamed Ridza & Co (MRCO), Mohamed Ridza berpengalaman luas dalam bidang korporat, telekomunikasi, pembiayaan kewangan termasuk penggabungan dan pengambilalihan, penyenaraian syarikat awam, perjanjian usaha sama dan konsortium yang melibatkan syarikat asing dan multinasional.

4. Prof. Madya Dr. Amer Siddiq Amer Nordin

a. Seorang Profesor Madya, pakar perunding psikiatri dan pakar berhenti merokok dari Jabatan Perubatan Psikologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya.

5. Dr Chong Su-Lin

Beliau adalah seorang graduan perubatan dari United Kingdom dan mempunyai kelulusan dalam bidang Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari London School of Business. Berbekalkan pengalaman yang luas dalam bidang perubatan dan pengurusan, beliau pernah memegang beberapa jawatan utama termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan Sunway, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan Prince Court dan Pengarah Eksekutif Pusat Pakar Antarabangsa Beacon. Beliau kini menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif IMU Healthcare.

6. Manvir Victor

a. Mempunyai kepakaran dalam bidang komunikasi dan media, keselamatan pesakit, pembangunan jenama serta pengurusan krisis dan reputasi, En Manvir merupakan aktivis dan wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai Peguambela Pesakit Antarabangsa dan juga menganggotai Global Patient for Patient Safety.

7. Sivaramakrishnan Balasubramanian

a. En Siva mempunyai kepakaran mendalam dalam membuat penilaian, membangun dan melatih CEO, eksekutif dan pemimpin berpotensi tinggi, untuk menunjukkan prestasi terbaik dan menyediakan diri mereka untuk aspirasi masa depan serta membentuk budaya organisasi mereka. Beliau juga mempunyai kepakaran dalam reka bentuk organisasi & kerja untuk menyelesaikan masalah struktur, perancangan penggantian (succession planning) dan laluan kerjaya, membina potensi dan meningkatkan produktiviti, dan perancangan tenaga kerja strategik.

8. Wakil dari Jabatan Perkhidmatan Awam

“Saya ingin tekankan bahawa KKM amat komited dalam usahanya untuk memperbaiki suasana kerja kakitangan perkhidmatan kesihatan secara amnya dan menghapuskan budaya kerja toksik di fasiliti-fasiliti kesihatan KKM”.

“Saya juga akui usaha ini memerlukan sedikit masa untuk membuahkan hasil tetapi ingin saya tegaskan bahawa suasana kerja yang kondusif dan harmoni bermula dengan menghormati, menyokong dan sama-sama membantu rakan sekerja kita.”

“Sekarang bukan masanya untuk kita berbalah, bukan masanya untuk menuding jari. Kita telah melalui cabaran pandemik COVID-19 bersama-sama dan Alhamdulillah, berkat komitmen dan kerjasama yang erat antara semua petugas kesihatan, kita kini telah berada dalam Fasa Peralihan ke Endemik.” katanya.

Sumber : Kenyataan Media Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin