comscore
Tumpuan :
Nasional

KPDN dan IPTA laksana kajian impak program Payung Rahmah

Oleh: Aslina Abu Bakar

BANGI: Kajian impak keberkesanan di bawah Program Payung Rahmah akan dipergiat.

Ia bertujuan memastikan kesinambungan program itu dapat dilaksanakan secara berterusan dalam jangka masa panjang.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kajian berkenaan akan dilaksanakan dalam masa terdekat membabitkan beberapa pakar daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam tertentu.

Jelasnya, pakar berkenaan akan membuat beberapa kajian di lapangan selain mengumpul data mengenai maklum balas komuniti peniaga yang mengikuti program Rahmah.

“Melalui kajian yang dilaksanakan, ia sekaligus dapat membantu kami merangka strategi yang lebih mampan untuk menggerakkan program ini secara berterusan.

“Malah dengan peruntukan tambahan yang diumumkan kerajaan untuk program Payung Rahmah ini, kami mahu program ini betul-betul dapat menyentuh dan mencapai objektif dalam konteks yang lebih luas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika program  Jelajah Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), di sini, hari ini.

Sementara itu, orang ramai yang menghadiri program itu berharap ia dapat diteruskan untuk masa yang lebih panjang memandangkan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Suri rumah, Norazian Ismail,41 berkata, program itu benar benar membantunya dalam menangani masalah kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Barang-barang di sini semuanya murah, kalau di pasaraya atau di luar memang sukar nak dapat harga ayam, telur, minyak dan beras dengan harga bermula RM5 hingga RM10.

“Jadi saya harap program ini boleh diteruskan oleh kerajaan untuk jangka masa panjang, terutama untuk membantu kami daripada golongan B40 ini,”katanya

Sepanjang JER  dilaksanakan, orang ramai terutama golongan B40 boleh menikmati harga barang keperluan asas seperti ayam, beras, minyak dan telur serendah RM5  hingga RM10 sahaja.

Inisiatif  itu merupakan kerjasama strategik di antara rakyat, kerajaan dan pihak industri dalam mengembleng usaha menangani isu kos sara hidup dengan potongan harga barang sebanyak 10 hingga 30 peratus.

Loading...
Terkini