comscore
Tumpuan :
Nasional

KPDN teliti inisiatif rahmah untuk peralatan persekolahan – Salahuddin

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub – FOTO: NSTP

PETALING JAYA: Inisiatif berkonsepkan Menu Rahmah dalam aspek bantuan persekolahan akan diteliti bagi membantu meringankan beban ibu bapa berpendapatan rendah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihaknya akan mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan bagi menjayakan inisiatif berkenaan yang dijangka dilaksana mulai tahun hadapan.

“Dalam tempoh 100 hari ini kita akan fokuskan pada Menu Rahmah terlebih dahulu. Bagaimanapun untuk pakej persekolahan, secara formalitinya saya akan cuba uruskan agar pelaksanaannya lebih teratur seperti Menu Rahmah ketika ini,” katanya selepas majlis pelancaran Menu Rahmah McDonald’s di sini hari ini.

Salahuddin berkata, buat masa ini, bantuan persekolahan masih disalurkan menerusi program Kembali ke Sekolah (Back to School) yang dilaksanakan di setiap kawasan Parlimen.

Inisiatif Menu Rahmah yang menawarkan makanan pada harga RM5 dan ke bawah dilancarkan pada Januari lepas sebagai antara usaha kerajaan menangani kenaikan kos sara hidup. — BERNAMA

Loading...
Terkini