comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] KPKT lancar 2 anugerah kecemerlangan untuk iktiraf petugas jabatan, PBT dan media

Oleh : Mohd Azri Atan

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini mengadakan majlis pra-pelancaran dua anugerah kecemerlangan bertujuan mengiktiraf sumbangan pihak-pihak yang komited dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan khususnya kepada masyarakat setempat.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, dua anugerah berkenaan ialah Anugerah Kecemerlangan Menteri KPKT 2023 dan Anugerah Kecemerlangan Media KPKT 2023. Kedua-dua majlis akan berlangsung pada 3 November depan.

Menerusi Anugerah Kecemerlangan Menteri KPKT 2023, 12 kategori dipertandingkan mengkhusus kepada kualiti kepimpinan cemerlang dan berkualiti petugas jabatan dalam melaksanakan dasar-dasar Malaysia Madani.

Ia selari dengan usaha pemerkasaan penyampaian perkhidmatan KPKT yang terus menjadi fokus utama kementerian dalam memastikan kesejahteraan rakyat.

Paling menarik menurutnya, penerima anugerah bagi kategori terpilih, selain menerima hadiah wang tunai, mereka akan turut ditawarkan kursus jangka pendek di universiti ternama di luar negara seperti Universiti Harvard dan Oxford.

Nga ditemui pada majlis pra-pelancaran anugerah serta memperkenalkan trofi di sini, hari ini.

Selain itu katanya, penyertaan turut terbuka kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“PBT yang menunjukkan prestasi daya kerja cemerlang, progresif, berdaya maju dan dinamik dalam melonjakkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan turut berpeluang diangkat sebagai pemenang”, kata beliau.

Buat julung kali, Anugerah Kecemerlangan Media KPKT 2023 turut diadakan. Ia melibatkan kerjasama dengan Malaysian Press Institute (MPI) yang bertindak sebagai juri profesional bagi menilai setiap karya daripada media yang menyertai.

Sebanyak 10 kategori anugerah media yang setiap satu menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM3,000 dan trofi kepada pemenang, manakala penerima Anugerah Khas YB KM bakal menerima wang tunai RM10,000.

Menurut Nga, penganjuran kedua-dua anugerah berprestij ini diharap dapat memberi inspirasi kepada KPKT untuk sentiasa membudayakan semangat daya saing selain komited melaksanakn pembaharuan dalam melestarikan perkhidmatan yang cemerlang.

Loading...
Terkini