comscore
Tumpuan :
Nasional

KPM ucap takziah, minta hormati privasi keluarga Allahyarham Nuqman Naufal

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) meminta semua pihak menghormati privasi keluarga Allahyarham Nuqman Naufal Shamsul Fadzli, yang meninggal semalam ketika sedang menyertai aktiviti merentas desa di sebuah sekolah di Negeri Sembilan.

Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian berkenaan turut menyatakan sudah mengambil tindakan segera dengan memberi bantuan kepada keluarga pelajar terbabit.

“KPM menzahirkan rasa dukacita dan mengucapkan takziah kepada keluarga Nuqman Naufal Shamsul Fadzli, murid Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar, Kuala Pilah, Negeri Sembilan yang meninggal dunia pada Jumaat.

“KPM menyeru semua pihak untuk menghormati privasi keluarga Allahyarham Nuqman Naufal. Dalam masa sama, KPM telah mengambil tindakan segera untuk memberi bantuan kebajikan kepada pihak keluarga,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Nuqman Naufal, 14, meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai aktiviti merentas desa di sekolahnya jam 9.30 pagi semalam.

Beliau terdahulu dikejarkan ke hospital dan diberikan rawatan kecemasan, namun disahkan meninggal kira-kira dua jam selepas itu.

Mengikut keterangan bapa pelajar terbabit, Nuqman Naufal disahkan menghidap penyakit jantung berlubang pada 2016 dan masih dibekalkan ubat daripada Institut Jantung Negara (IJN).

KPM turut memaklumkan sentiasa komited bagi memastikan aspek keselamatan dan kesejahteraan murid sentiasa diberi perhatian.

Dalam masa sama, ia turut meminta semua institusi pendidikan di bawahnya sentiasa mematuhi garis panduan penganjuran aktiviti luar bilik darjah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini