comscore
Tumpuan :
Nasional

KPWKM, KPT, KPM sediakan kaunselor bantu waris nahas helikopter TLDM

Datuk Seri Nancy Shukri (dua dari kiri) mengunjungi keluarga mendiang Laskar Kanan JJM Joanna Felicia Rohna di Kampung Engkaroh, Tebakang, Serian hari ini.- Foto: NSTP

SERIAN: Semua kementerian berkaitan sudah diagihkan tanggungjawab masing-masing bagi membantu waris mangsa tragedi dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terhempas di Lumut, Selasa lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri, agihan tugas itu sudah dipersetujui kementerian berkaitan bagi memastikan waris mangsa mendapat bantuan dan pembelaan sewajarnya.

Beliau berkata, mengikut agihan tanggungjawab itu, KPWKM akan menyediakan kaunseling untuk keluarga terutama balu serta anak-anak mangsa yang masih kecil.

“Bagi anak mangsa yang sudah melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sudah mengumumkan bantuan iaitu menanggung kos pengajian mereka selain memberi khidmat kaunseling kepada pelajar terbabit.

“Bagi anak-anak mangsa yang masih bersekolah pula, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyediakan kaunselor bagi membantu memulihkan semangat mereka,”‘katanya.

Nancy berkata demikian ketika ditemui selepas beliau mengunjungi keluarga mendiang Laskar Kanan JJM Joanna Felicia Rohna di Kampung Engkaroh, di sini, hari ini.

Menurutnya, secara keseluruhan, 10 mangsa yang terkorban dalam kejadian itu meninggalkan 21 anak dengan ada yang sudah melanjutkan pelajaran di IPT.

“Bantuan kaunseling perlu bagi meredakan kemurungan yang dialami waris. Sekarang mungkin kesannya masih belum ketara, kerana masih ramai saudara mara bersama mereka.

“Tetapi kita bimbang selepas seminggu atau lebih, mereka akan mengalami kemurungan dan ianya memerlukan khidmat kaunseling,” katanya.

Menurutnya lagi, bantuan kewangan juga sudah diumumkan kerajaan dengan setiap keluarga diberi sumbangan RM10,000.

“Bagi KPWKM pula, bantuan disalurkan menerusi Yayasan Kebajikan Negara (YKN) iaitu sebanyak RM3,000 bagi setiap keluarga,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini