comscore
Tumpuan :
Nasional

Lambakan pekerja asing dalam negara, lebih 300 ribu daripada unjuran

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengakui berlaku lambakan pekerja asing dalam negara dengan jumlahnya melonjak kepada 2.7 juta orang, melebihi unjuran ditetapkan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata, mengikut unjuran Kementerian Ekonomi, hanya 2.4 juta pekerja asing boleh berada dalam negara ini.

“Unjuran kita ialah 2.4 juta, namun dengan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing, seramai 2.7 juta pekerja asing berada di Malaysia secara fizikal.

“Ini melebihi unjuran ditetapkan, jadi kita akan pastikan hanya 15 peratus pekerja asing berada di negara ini berbanding keseluruhan tenaga kerja yang ada,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mengenai perancangan tenaga kerja dilaksanakan KSM bagi memastikan pengambilan pekerja asing berada di tahap optimum dan bukan berterusan sehingga menjejaskan peluang rakyat tempatan.

Bagi menangani hal itu, Mustapha berkata, KSM memerlukan kerjasama pelbagai pihak terutama bagi melahirkan lebih ramai bakat tempatan dalam usaha menampung permintaan industri, sekali gus mengelak kemasukan pekerja asing secara berlebihan.

“Kita perlukan kerjasama semua untuk memastikan penggunaan teknologi dan kaedah pembinaan baharu, di samping melahirkan bakat tempatan,” katanya.

Menjawab soalan asal Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) mengenai jumlah pekerja asing untuk sektor pembinaan yang masih tertunggak dan perancangan KSM bagi menyelesaikan isu itu, Mustapha berkata, seramai 222,230 orang sudah dibawa masuk.

Katanya, berdasarkan unjuran semasa, negara kekurangan 78,770 pekerja asing bagi menampung keperluan sektor pembinaan.

“Unjuran keperluan pekerja asing bagi sektor pembinaan oleh Agensi Kawal Selia ketika pelaksanaan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing adalah 301,000 orang.

“Sehingga 9 Oktober lalu, data kemasukan pekerja asing bagi sektor pembinaan yang diperoleh daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) adalah 222,230 orang.

“KSM berperanan menerima dan memproses permohonan serta aspek kelulusan kuota manakala aspek kemasukan pekerja asing adalah di bawah bidang kuasa KDN,” katanya.

Loading...
Terkini