comscore
Tumpuan :
Nasional

Lantikan politik hanya ditegah dalam GLC 

KLANG: Lantikan ahli politik antaranya sebagai pengerusi badan berkanun diberi kelonggaran oleh Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, pelantikan ahli politik hanya ditegah jika ia membabitkan perjawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) khususnya yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Justeru, beliau menegaskan agar semua pihak dapat membezakan antara GLC dan badan berkanun kerana terdapat perbezaan antara kedua-dua entiti berkenaan.

“Dari segi pelantikan ahli politik, kita kena asingkan antara badan berkanun dengan GLC. Kalau GLC umpamanya syarikat tersenarai di Bursa (Malaysia) seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), kita tidak bersetuju untuk meletakkan ahli politik.

“Hakikatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim telah pun memaklumkan kepada saya memang beliau tidak berhasrat untuk melantik mana-mana ahli politik dalam mana-mana GLC yang besar ataupun tersenarai di Bursa Malaysia.

“Tetapi kita memberikan sedikit fleksibiliti dari segi badan berkanun umpamanya FELCRA, lembaga pelabuhan dan sebagainya… itu memang selama ini ada pelantikan ahli politik dan kita sudah tentu akan memberikan fleksibiliti ini,” katanya pada sidang media selepas Konvensyen DAP Selangor di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata, sudah pasti ada perbezaan ketara antara GLC dengan badan berkanun kerana ramai yang mencampuradukkan kedua-dua entiti terbabit.

“Apa itu GLC, Government Linked Companies… tetapi yang dilantik sekarang bukan dalam GLC tetapi dilantik ini adalah badan berkanun, lembaga-lembaga dan sebagainya.

“(Badan berkanun) Ini ialah lembaga kawal selia. Ia bukan terlibat dalam perniagaan dan sebagainya. Jadi ada perbezaan,” katanya.

Di bawah kementeriannya, beliau berkata tiada lantikan dalam kalangan ahli politik bagi menganggotai jawatan dalam syarikat seperti Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan MAHB.

Apa yang menjadi amalan kerajaan baharu sekarang, katanya tidak sama seperti dilakukan kerajaan terdahulu yang melantik orang politik menganggotai jawatan penting dalam GLC.

“Kalau pentadbiran (kerajaan) dulu, anda tahu siapa yang jadi Pengerusi Prasarana? Sekarang siapa? Tan Sri Jamaludin Ibrahim (pengerusi sekarang).

“Jadi kita tidak ada melantik ahli politik dalam GLC utama umpamanya dalam Prasarana, MAHB, TM dan sebagainya.

“(Amalan) Itu saya yakin akan terus dikekalkan dasar tersebut oleh Perdana Menteri,” katanya

Loading...
Terkini