comscore
Tumpuan :
Nasional

Lapangan terbang KLIA, klia2 dijenamakan semula

PUTRAJAYA: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 dijenamakan semula masing-masing sebagai KLIA Terminal 1 dan KLIA Terminal 2, bagi mencapai nilai lebih tinggi dalam memasarkan perkhidmatan di lapangan terbang terbabit.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata Jemaah Menteri bersetuju dengan langkah itu, yang juga bertujuan mengukuhkan persaingan dua lapangan terbang negara dengan lapangan terbang antarabangsa.

“Pelaksanaan ini dijangka dapat membantu meningkatkan daya saing global perkhidmatan pengangkutan udara negara serta memulihkan semula sektor penerbangan demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat berlandaskan gagasan Malaysia MADANI,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Kabinet secara prinsip juga bersetuju dengan syarat material baharu Perjanjian Operasi (OA), yang memberikan konsesi kepada Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) untuk mengoperasi, mengurus, menyelenggara dan membangunkan 39 lapangan terbang serta padang terbang (STOLports – Short Take-Off and Landing Airports) di Malaysia sehingga 2069.

Dengan persetujuan Kabinet yang dicapai pada 2 Februari lalu, perjanjian sama sebelum ini terbatal, manakala OA baharu serta Perjanjian Pajakan berkaitan akan ditandatangani dan dimuktamadkan selewat-lewatnya akhir Mac ini.

“Ini adalah kesinambungan perjanjian lama. Perbezaannya adalah ia memberikan fleksibiliti kepada MAHB dalam membangunkan lapangan terbang yang lebih kompetitif dan efektif,” katanya.

Loke berkata, kerajaan dan MAHB bakal mempunyai fleksibiliti dalam kaedah pembiayaan kos pembangunan industri lapangan terbang iaitu sama ada menggunakan peruntukan kerajaan melalui Perbelanjaan Pembangunan atau MAHB melalui mekanisme model pemulihan pelaburan yang bersesuaian.

“Kaedah itu bagaimanapun tertakluk kepada persetujuan bersama kedua-dua pihak dengan kadar kos purata wajaran modal (WACC) ditentukan hanya apabila projek terbabit akan dilaksanakan, tertakluk kepada persetujuan kerajaan,” katanya.

Akaun amanah pembangunan lapangan terbang juga akan ditubuhkan bagi menerima sumbangan daripada pengguna lapangan terbang, orang awam dan syarikat penerbangan tanpa membabitkan dana kerajaan.

Katanya, sebanyak 50 peratus daripada komponen Caj Perkhidmatan Penumpang, yang diambil kira dalam pengiraan User Fee (fi pengguna) akan disalurkan ke akaun amanah itu.

Bagaimanapun, Loke berkata, kerajaan juga berhak menstruktur semula industri lapangan terbang melalui kaedah ‘clustering’, memisahkan ekuiti perniagaan daripada syarikat induk, pelupusan lapangan terbang, menutup lapangan terbang atau terminal sedia ada atau penstrukturan semula mana-mana pemilikan fasiliti, tertakluk kepada persetujuan bersama.

“Syarat material baharu OA itu juga membolehkan pelaksanaan pelan pembangunan komersial lebih berdaya saing serta berpotensi meningkatkan pendapatan kerajaan melalui perkongsian hasil ke atas tanah milik kerajaan yang dibangunkan oleh MAHB.

“Pelaksanaan ini dijangka dapat membantu meningkatkan daya saing global perkhidmatan pengangkutan udara negara serta memulihkan semula sektor penerbangan demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat berlandaskan gagasan Malaysia Madani,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini