comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Lebih 1,000 penduduk orang asli henti aktiviti di hutan selepas serangan harimau 

GUA MUSANG:  Lebih 1,000 penduduk Orang Asli di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Pos Pasik, Gua Musang, menghentikan semua aktiviti di hutan selepas serangan harimau belang yang meragut tiga nyawa.

Mereka yang berada di 11 kampung iaitu Kampung Sugi, Kampung Ayong, Kampung Betar, Kampung Perwer, Kampung Bayor, Kampung Cerikai, Kampung  Lembong, Kampung Belej, Kampung Simpang, Kampung Bering Lama dan Baru, mulai bimbang kerana bekalan makanan mereka telah berkurangan kerana tidak dapat bekerja di hutan.

Timbalan Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), Nasir Dollah berkata, bantuan makanan kepada Orang Asli Pos Pasik perlu disalurkan oleh pihak-pihak berwajib kerana penduduk kini tiada sumber pendapatan dan tidak berani untuk ke hutan lagi.

“Saya dihubungi beberapa sahabat dari Pos Pasik tentang bantuan makanan kerana mereka tak boleh keluar mencari sumber pendapatan mereka”

“Tak boleh menoreh, tak boleh masuk hutan dan tak boleh juga menjana pendapatan. Ini juga akan merumitkan lagi keadaan yang mana mereka terpaksa berkurung.”

Penduduk, Jefri Berkut, 43, memberitahu dia tidak lagi ke hutan untuk mencari sumber makanan kerana bimbang diserang harimau yang telah mengorbankan nyawa rakannya.

Katanya, situasi ini amat membimbangkan dan menakutkan sekiranya haiwan berkenaan mula memasuki kawasan perkampungan mereka yang terletak 20 kilometer dari lokasi kejadian di Kampung Meranto, Gua Musang.

Bagi Meor Siam, 62, kejadian diserang harimau dalam tempoh kurang 48 jam itu tidak pernah berlaku sebelum ini biarpun penempatan mereka berada di tengah-tengah rimba.

Katanya, bantuan makanan daripada pihak berwajib adalah amat perlukan ketika ini kerana masing-masing mulai berkurung dan tidak lagi keluar mencari pendapatan.

Jumaat lalu, mayat seorang lelaki warga Indonesia, Lalu Sukarya Yahya, 42, ditemukan dalam keadaan tidak sempurna apabila anggota badannya berserakan di Ladang Akar Prestige, Meranto Gua Musang.

Insiden ini berterusan apabila sehari selepas penemuan mayat, seorang lelaki warga Myanmar, Ahka Soe Ya, 22, pula menjadi mangsa serangan harimau di lokasi yang berdekatan dan meninggal dunia di Hospital Gua Musang ketika menerima rawatan.

Pada Mei dan Oktober lalu, kematian dua penduduk Orang Asli iaitu Halim Asin, 27, dan Pisie Amud, 25, dari Pos Pasik turut dikaitkan dengan serangan harimau.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini