comscore
Tumpuan :
Nasional

Lelaki jatuh jambatan pagi tadi ditemui lemas

ISKANDAR PUTERI: Seorang lelaki yang dilaporkan terjatuh ke dalam Selat Johor dari atas jambatan di kilometer 10, Lebuhraya kedua menghala ke Singapura ditemui lemas, petang tadi.

Mayat mangsa ditemui tersangkut pada ranting kayu bakau oleh nelayan tempatan yang menyertai pasukan mencari dan menyelamat, kira-kira 400 meter dari lokasi beliau dilaporkan jatuh.

Mangsa dikenali S.Jivanathan, 45 tahun ditemui jam 2.30 petang tadi, selepas operasi mencari dan menyelamat dilancarkan kira-kira jam 8 pagi.

Menurut Komander operasi balai bomba dan penyelamat Iskandar Puteri, Pegawai Bomba Kanan Satu, Mohd Saifulnizam Mohd, lebih 20 anggota pelbagai agensi terbabit dalam operasi carilamat berkenaan.

Ia termasuk anggota dari unit PPDA balai bomba dan penyelamat Skudai.

“Mulanya teknik pencarian bermula dengan water searching surface dan hatch pattern pada jarak 60 meter dari lokasi dilaporkan hilang dan kemudiannya kawasan pencarian  diperluaskan hingga seluas 200 meter, namun gagal menemui mangsa” katanya.

Bagaimanapun kira-kira jam 230 petang tadi nelayan tempatan yang turut menyertai operasi mencari dan menyelamat memaklumkan mereka menemui mayat seorang lelaki tersangkut pada ranting kayu bakau, kira-kira 400 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Mayat mangsa dipercayai dihanyutkan arus deras di dasar selat sebelum tersangkut.

Mayat mangsa kemudian diserah kepada pihak polis dan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru bagi proses bedah siasat.

Polis masih menyiasat punca sebenar kejadian berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini